Liverpool juara Eropah 2005 – satu sorotan (3)

Oleh Asmawi Bakiri 25 May 2018 905
Liverpool juara Eropah 2005 – satu sorotan (3)
TUAH YANG DIHARAP-HARAPKAN
 
AC Pada waktu rehat separuh masa, salah seorang penyokong kami sibuk bercakap di telefon untuk mencari penerbangan ke Jepun untuk Piala Dunia Kelab FIFA! Dia mahu membuat tempahan awal untuk mengelakkan perlu membayar terlalu tinggi nanti.
 
CH Terdapat rasa tidak bermaya, bagi semua yang menyaksikan ini – bayangkan bagaimana kami akan dipersendakan apabila pulang nanti. Naluri saya sedang cuba mengembalikan ingatan kepada kekalahan terburuk kami dalam final.
 
LL Ia satu igauan buruk. Anak lelaki saya sedang menangis teresak-esak. Saya telah menyaksikan kejayaan dan kegagalan sebagai seorang penyokong, tapi apa yang dilihat pada hari itu adalah keterlaluan buat seorang kanak-kanak. Beberapa lelaki di barisan bersebelahan cuba memujuknya tapi mereka turut menangis bersamanya kemudian.
 
MP Abang saya mula mengambil gambarnya sendiri dan papan iklan stadium. Saya menanti untuk kami menyumbat gol sekali lagi untuk menjadikannya 4-0, sama seperti menentang Barcelona (dalam final 1994). Ibu saya langsung tidak tenang. Ia seakan-akan dia tahu sesuatu yang buruk akan berlaku.
 
Apabila penyokong Liverpool mula menyanyikan You’ll Never Walk Alone, saya terfikir: “Apa yang sedang mereka lakukan? Dalam 45 minit lagi, kami yang akan menyanyi dan berpesta.” Mereka tidak akan punya apa-apa untuk dinyanyikan lagi!
 
LL You’ll Never Walk Alone bermula dengan perlahan tapi kemudiannya bingit. Jamie mula menyanyi. Ia suatu pernyataan: ‘Kami adalah Liverpool’.
 
OP Kami tidak dapat meraikannya kerana Stadium Ataturk menjadi pembesar suara bagi lagu rasmi Liverpool. Kami seakan-akan terpukau.  Kami sedang mendahului dengan tiga gol tapi penyokong mereka pula yang bernyanyi.
 
MR Saya mula berlegar-legar di dalam stadium, cuba untuk mendapatkan minuman tapi tiada arak yang dijual.  Saya kembali ke tempat duduk saya tapi terambil laluan yang salah. Saya melihat-lihat di sekeliling dan terlihat seorang lelaki dengan ‘bow tie’ membawa sedulang minuman.
 
Ada dua pengawal pintu bertubuh besar yang menghalang laluan tapi saya berjaya meloloskan diri ke kawasan hospitaliti. Lelaki yang membawa minuman tadi melintas dan menawarkan saya: ‘Champagne, Tuan?’ dan saya terfikir: “Jangan marah kalau saya ambil satu!”
 
Saya tercegat di situ dengan berbaju Liverpool dan berseluar pendek tentera tapi tiada sesiapa yang berkata apa-apa kepada saya. Tiba-tiba pemain sudah mula berarak masuk ke padang semula. Penonton mula kembali ke tempat duduk masing-masing dan saya turut menyertai mereka.
 
Saya tersedar yang semua orang bercakap bahasa Itali. Saya mencari empat duduk di belakang saya kalau-kalau ada yang kosong. Dua pengawal pintu tadi merenung tepat ke arah saya. Betul-betul di depan mereka ialah seorang lelaki agak pendek, berambut hitam, berkulit perang laksana Don Corleone dengan satu tempat duduk kosong di sebelahnya.
 
Saya menunjuk ke arah tempat duduk itu dan dia mengisyaratkan saya boleh duduk di situ. Semua orang memandang kepada saya sambil saya mengambil tempat duduk itu. Lelaki tadi menepuk bahu saya dan memberikan isyarat 3-0 sambil tersenyum. “Lelaki ini sudah mula menaikkan kemarahan saya…”
 
(BERSAMBUNG)
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen