'Lionel Messi - The GOAT – Sebuah Filem Rasmi'

Oleh Hishamuddin Aun 13 July 2019 1658
'Lionel Messi - The GOAT – Sebuah Filem Rasmi'
Oh! Anda tidak sukakan Lionel Messi? Tiada sesiapa yang boleh memaksa jika anda lebih meminati mana-mana pemain lain kecualinya.

Apatah lagi, jika pemain itu Cristiano Ronaldo.

Namun, kapten Argentina itu tidak harus dinafikan hak untuk diminati pemujanya di merata pelosok dunia.

Tanpa sebarang gelaran utama di peringkat senior bersama pasukan kebangsaannya sekalipun, bintang berusia 32 tahun ini telah meraih haknya untuk diiktiraf selaku antara Yang Terhebat Sepanjang Zaman (GOAT).

Lantas, terhasillah klip video 'Lionel Messi - The GOAT - Official Movie' oleh 'Magic Messi', yang seperti nama samarannya mencadangkan dia adalah seorang peminat tegar tonggak Barcelona itu.

Baru dimuat naik di YouTube, klip video 20 minit itu mendapat lebih sejuta tontonan dalam tempoh hanya 24 jam.





Penyuntingannya menjadikan klip video itu lebih istimewa, tidak terkecuali memuatkan petikan Cristiano Ronaldo dan Jose Mourinho, yang menyerlahkan ego masing-masing sebelum aib kekalahan 5-0 dalam satu pertemuan El Classico di Camp Nou pada 29 November 2010.

Sebagai sorotan, dua gol David Villa dan selebihnya oleh Xavi, Pedro dan Jeffren sambil Messi hanya berperanan perancang dalam pertembungan itu, dianggap Mourinho kekalahan terburuk yang pernah dialami dalam kariernya.

Malah, daripada permulaannya lagi, video itu memaparkan deretan pemain bintang – masa lalu dan masa kini – di samping satu himpunan pengurus yang seakan-akan bersepakat dan bersependapat menggelar Messi sebagai pemain terhebat dalam sejarah.

Ia turut membawa anda menelusuri karier Messi, jaringan-jaringan terbaiknya, statistiknya yang mengagumkan serta koleksi trofinya – di sebalik ia semuanya bersama Barcelona.

Selepas memenangi anugerah Ballon d'Or lima kali sepanjang kariernya, ramai yang menaruh kepercayaan ia harus menjadi miliknya buat kali keenam di sebalik tidak memenangi Liga Juara-Juara atau Copa America tahun ini.

Penyerang berjersi nombor 10 itu sekurang-kurangnya masih dinobatkan pemenang Anugerah Kasut Emas Eropah buat kali keenam – dua lebih banyak daripada Cristiano.

Di sebalik barisan Argentina yang diketuainya tersingkir kepada Brazil dalam separuh akhir Copa America 2019 – kemudian memenangi tempat ketiga dengan mengalahkan Chile sebagai sagu hati – Messi tetap terpilih bagi anugerah Balon Educativo de Scholas dengan 34.28 peratus undian, mengatasi dua pemain Peru, Edison Flores (15.56%) dan Pedro Gallese (11.28%) di samping kapten Brazil, Dani Alves (10.5%).

Malah, Messi turut dinamakan Pemain Bolasepak Lelaki Antarabangsa Terbaik dalam majlis Anugerah ESPY (Kecemerlangan Dalam Prestasi Sukan Tahunan) di Microsoft Theater, Los Angeles, Rabu lalu – ihsan kedudukannya selaku penjaring terbanyak di Eropah dengan 36 gol dalam 34 perlawanan LaLiga di samping 12 gol dalam Liga Juara-Juara.

Seperkara yang pasti, 'Lionel Messi -- The GOAT’ bukan klip video atau kompilasi terakhir yang memfokuskan kepada Messi.

'Magic Messi', seperti yang dikenali dengan penghasilan banyak klip video Messi sebelumnya, tentu akan menyimpan koleksi terbaik untuk dikongsi tontonan apabila Messi mengumumkan persaraannya suatu hari nanti.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen