Lima awang import hambar

Oleh Fadzrie Hazis 17 April 2019 57839
Lima awang import hambar
Saingan Liga Super musim ini menghampiri pertengahan musim dan penulis menjangkakan beberapa pasukan akan melakukan pertukaran awang import, dalam usaha memantapkan barisan masing-masing.

Memandangkan pendaftaran kedua pemain bakal di buka Mei depan, penulis menyenaraikan lima awang import yang hambar selepas sembilan aksi liga setakat ini.

5.  Tchetche Kipre (Terengganu FC)

Penyerang kelahiran Ivory Coast ini adalah mesin gol skuad Peteh dalam dua musim pertamanya namun, memasuki musim ketiga menyaksikan kemerosotan prestasinya.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim sebelum ini turut tidak menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi Kipre dalam laporan beberapa media arus perdana sebelum ini.

Jika tiada peningkatan segera daripada Kipre, penulis percaya pengurusan Terengganu FC akan mencari calon awang import baru bagi menjana peningkatan pasukan itu yang kini di tangga kesembilan liga.

4. Gilmar Jose da Silva Filho (Perak)

Seperti Kipre, Gilmar musim ini juga seakan sukar menemui sentuhan gol dengan kerap bersama Perak berbanding kelibatnya musim lalu yang kerap menjadi duri dalam daging kepada benteng lawan.

Perak kini mungkin hanya kalah sekali,tetapi Bos Gaurus juga hanya menang sekali dan seri tujuh kali untuk sekadar menghuni tangga kelapan liga.

Apa pun penulis menjangkakan pengendali Perak, Mehmet Durakovic akan terus mengekalkan khidmat Gilmar kerana kecenderungan jurulatih kelahiran Australia itu menggunakan taktik hantaran jauh.

Namun, hakikatnya adalah prestasi Gilmar merosot musim ini berbanding musim lalu apabila membantu Perak meraih kejuaraan Piala Malaysia dan naib juara saingan Liga Super.

3. Sylvano Dominique Comvalius (Kuala Lumpur)

Penyerang kelahiran Belanda ini datang dengan reputasi hebat sebagai antara penjaring gol terbanyak di Liga Satu Indonesia pada 2017, serta turut berpengalaman dengan kelab di beberapa negara Eropah.

Namun, kelibatnya bersama skuad warga kota musim ini tampak mengecewakan dan tidak banyak membantu pasukan yang kini menghuni dasar Liga Super.

Ketika ini sudah kedengaran desas-desus pengurusan persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bakal menggantikan kelibat Comvalius bagi menambah keampuhan pasukan.


2. Liridon Krasniqi (Melaka United)

Selepas cemerlang bersama Kedah selama empat musim, banyak menjangkakan Liridon akan meneruskan aksi cemerlang dengan Melaka musim ini.

Namun, aksinya jelas kurang konsisten dan ketika ini dilaporkan mengalami kecederaan pangkal peha dan sedang menjalani pemulihan di Jerman.

Penulis amat meminati kelibat Liridon ketika membantu Kedah meraih kejuaraan Piala Malaysia 2016 dan berharap, dia akan kembali ke tahap terbaik selepas ini bagi turut membantu meningkatkan kembali prestasi Melaka.

Namun, tidak mustahil  juga pengurusan Melaka mencari awang import lain sekiranya pemain kelahiran Kosovo ini masih dihimpit masalah kecederaan dan prestasi yang tidak menentu.

1. Michal Nguyen (Selangor)

Hadir sebagai pemain berdarah kacukan Vietnam- Republik Czech, Nguyen seakan memberi harapan kepada peminat Selangor bahawa mereka mempunyai pertahanan kental sebelum saingan musim ini bermula.

Namun, ia indah khabar dari rupa apabila kelibat Nguyen setakat ini tidak seperti yang diharapkan dan aksinya juga seakan setaraf pemain di saingan Liga M3 sahaja serta kerap menjadi "lubuk" buat penyerang lawan apabila berdepan Selangor.

Penulis hairan, bagaimana pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Selangor mengambil pemain ini jika dilihat kepada rekod pencapaiannya bersama kelab Thailand, Air Force Central musim lalu.

Ketika Nguyen bersama kelab itu, mereka gagal mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Satu Thailand dengan menduduki tempat ke-18 dan turut beraksi di saingan Liga Dua musim ini.

Aksi Michal ketika saingan pusingan ketiga Piala FA berdepan Felda United jelas mengecewakan dan dia gagal menjelmakan aksi ampuh selaku tonggak di bahagian pertahanan.

Sudah pasti pengurusan Selangor kini sedar, Nguyen mungkin perlu ditukar apabila jendela perpindahan kedua Liga M dibuka bulan depan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen