Lihatlah, Popov hanya berkata jujur

Oleh Muzaffar Musa 30 November 2019 36494
Lihatlah, Popov hanya berkata jujur
"Filipina pasukan yang menarik juga. Mereka bermain dengan amat baik dan tersusun. Mereka mempunyai pemain yang hebat, pemain di tahap berbeza dan saya menggemari pemain seperti itu. Mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan. Jika anda (Malaysia) tidak menumpukan perhatian dan memberikan mereka ruang untuk melakukan serangan balas dan gerakan set piece, mereka amat berbahaya. Kerana mereka memiliki (pemain dengan) fizikal yang amat kuat dan tinggi."

Itu kata-kata ketua jurulatih skuad B-22 Myanmar, Velizar Popov, selepas pasukannya menewaskan tuan rumah, Filipina, 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A, bola sepak Sukan SEA, Rabu lalu.

Dia sebenarnya memberikan amaran supaya Malaysia tidak memandang mudah kekuatan skuad Azkals itu, namun dilihat sebagai sengaja mencari publisiti dan memperkecil-kecilkan keupayaan skuad negara, apatah lagi selepas Malaysia dan Myanmar dilihat sama kuat susulan terikat 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A sebelum itu.

Dan apa yang berlaku di Stadium Memorial Rizal, Manila malam tadi membuktikan bahawa setiap yang diingatkan Popov itu bukan sekadar omongan kosong.

Skuad negara jelas tidak dapat menembusi barisan pertahanan Filipina yang dibarisi Amani Aguinaldo, Elias Mordal, Justin Baas dan Vincent Diano.

Seperti yang dikatakan Popov, kelebihan fizikal amat membantu Filipina dalam menangani asakan lawan.

Dan gawang Malaysia bocor juga apabila penjaga gol, Haziq Nadzli, mendakap bola yang sudahpun melepasi garisan gol susulan sepakan penjuru kapten Filipina, Stephan Schrock.

Alangkah baiknya jika skuad negara menerima amaran Popov itu untuk lebih berwaspada dengan kelebihan fizikal dan gerakan set-piece yang dimiliki Filipina.

Ia sepatutnya dipandang dari sudut yang positif, mungkin untuk membantu memandangkan pasukannya sudah terlebih dahulu berdepan cabaran getir Filipina.

Bak kata orang tua-tua, siapa yang terlebih dahulu makan garam, mulutnya lebih masin.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen