LHRM boleh jadi KPI kepada SSN

Oleh Mirnawan Nawawi 16 July 2019 172
LHRM boleh jadi KPI kepada SSN
Seperti diramal, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolts berjaya melebarkan penguasaan mereka dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) dengan mengekalkan rekod bersih 11 kemenangan daripada 11 perlawanan.

Semua sedia maklum SSTMI Thunderbolts adalah pasukan di bawah program hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sentiasa mendominasi saingan LHRM dengan meraih pelbagai gelaran sejak kebelakangan tahun.

Saya tertarik dengan kecemerlangan pemain-pemain SSTMI Thunderbolts terutama dari segi conversion rate, pukulan sudut penalti kali ini seperti Muhammad Amirul Hamizan Azahar, yang kini sudah meledak 10 gol menerusi situasi tersebut.

Bukan itu sahaja, pemain ini juga sudah mengumpul 18 jaringan peribadi daripada 11 perlawanan dengan baki lapannya menerusi gol padang, sekali gus menerajui carta penjaring terbanyak setakat ini.

Jadi, tidak mustahil SSTMI Thunderbolts mampu ‘melahirkan’ lagi pakar-pakar pukulan sudut penalti untuk masa depan hoki negara.

Melihat kepada carta LHRM ketika ini, saya tertarik dengan prestasi ditunjukkan skuad MBPJ Tigers yang berjaya menyelinap masuk ke dalam kelompok empat teratas bersama-sama tiga pasukan di bawah program TNB, SSTMI Thunderbolts, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts dan Akademi Hoki Pahang (AHP-MSP) Thunderbolts.

Satu lagi pasukan dalam program hoki TNB dalam saingan LHRM kali ini iaitu Anderson Thunderbolts menduduki tempat kelima.

Bagi saya, LHRM patut dijadikan Indeks Prestasi Utama (KPI) buat sekolah sukan negeri (SSN) yang selama ini menjadi ‘raja’ dalam Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri.

MSS Negeri tidak boleh lagi dijadikan kayu pengukur kepada SSN lebih-lebih lagi apabila kejohanan ini dijalankan secara karnival dan mungkin tidak memberikan perlawanan-perlawanan berkualiti untuk pemain mencapai tahap lebih tinggi.

Pandangan saya sebagai pencinta hoki tanah air, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus menetapkan KPI baru kepada SSN dengan menyertai LHRM pada masa depan supaya dapat melihat tahap keberkesanan setiap SSN yang ada di negara termasuk Sekolah Sukan Malaysia.

KPM juga boleh mewajibkan setiap sekolah projek hoki menyertai LHRM kerana ada sesetengah SSN tidak mengambil bahagian dalam edisi kali ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen