Lee Chong Wei ucap selamat tinggal 

Oleh Sharon Wee 16 April 2018 34942
Lee Chong Wei ucap selamat tinggal 
Chong Wei merebahkan badan tanda lega dan bersyukur harapan 32 juta rakyat Malaysia dibahunya untuk rangkul emas individu lelaki tercapai selepas pencabar juga pemain nombor 1 dunia dari India, K.Srikanth gagal melakukan tolakan kemas dijaring. 

Menyaksikan titisan air peluh dan keringat serta mimik muka Chong Wei yang berjuang seperti wira negara yang berperang, kesemua penonton di Pusat Riadah dan Sukan Carrara berdiri memberi tepukan dan penghormatan kepada pemain nombor 1 negara itu sambil penonton yang menyaksikan perlawanan secara langsung di Astro Arena ditemani dengan  ulasan dramatik pengulas tersohor Shaukei Kahar, melinangkan air mata kebanggaan. 

Emas individu ketiga itu sangat penting bukan sahaja untuk Chong Wei tetapi kepada skuad badminton Malaysia yang terlepas merangkul emas dalam acara berpasukan campuran selepas dikejutkan oleh India. 

Pada usia 35 tahun dan ranking turun ke tangga ke 7, Chong Wei akur tidak mudah menewaskan pencabar berusia 25 tahun K.Srikanth yang mempunyai kelebihan keyakinan setelah menewaskan Chong Wei 2-0 di final acara berpasukan serta menerapkan permainan pantas. 

Bagi bekas pemain nombor 1 dunia juga mempunyai filem tentang perjuangan dirinya menjadi juara badminton 'Lee Chong Wei:Rise of the legend', dia tidak mahu Sukan Komanwel terakhirnya disudahi dengan kekecewaan. 

Tewas di set pertama dan bangkit di set kedua, Chong Wei menunjukkan kekuatan mental dan fizikal di set ketiga dengan smash kencang serta skil yang luar biasa sehingga anak buah bekas juara All England P.Gopichand, K.Srikanth tergamam dan tiada jawapan kepada asakan Chong Wei. 

Chong menang set ketiga mudah 21-14 sekaligus impian melabuh tirai Sukan Komanwel terakhirnya dengan genggaman serta perasaan cukup bangga. 

Ramai peminat Chong Wei yang meluahkan perasaan sedih di media sosial Astro Arena kerana Gold Coast merupakan perjuangan terakhirnya di Sukan Komanwel, pada masa yang sama menunjukkan keterujaan dan penghormatan kepada semangat patriotik yang ditunjukkan oleh pemain badminton terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia. 

Jangan bimbang para peminat badminton kerana untuk Chong Wei tugas berakhir di Sukan Komanwel namun kelibatnya akan dapat kita saksikan di Piala Thomas dan Sukan Asia nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen