Larian istimewa Freddie!

Oleh 16 April 2018 2108
Larian istimewa Freddie!
Masih ingat lagi kelibat bintang Arsenal yang pernah mencetuskan fenomena dengan gaya rambut berwarna setiap kali tampil di atas padang? Namanya mungkin tidak sebesar Thierry Henry dan Alexis Sanchez ketika bersama The Gunners tetapi cukup untuk mengingatkan kembali kejayaan “Invincibles” pada tahun 2004.
 
Dilahirkan pada 16 April 1977 di Vittsjo, Sweden, pemain yang dimaksudkan adalah Karl Fredrik Ljungberg atau Freddie Ljungberg.
 
Bintang sensasi dari Sweden itu merupakan tonggak utama Arsenal ketika di Highbury pada waktu itu, sejak tiba di England pada tahun 1998 dari kelab tempatan, Halmstad. Empat tahun memulakan karier di Sweden, dia mencatat 10 gol di peringkat domestik hasil daripada 79 penampilan sebelum menarik perhatian Arsene Wenger.
 
Setelah kehilangan khidmat Emmanuel Petit dan Marc Overmars yang berhijrah ke Barcelona, Wenger tampak masih gagal mencari pengganti kepada dua pemain sayap itu sehingga memaksa beliau mula mempertaruhkan pemain sedia ada seperti Ljungberg dan Robert Pires.
 


Sebagai seorang pemain sayap, tentunya tuntutan yang perlu dipenuhi memerlukan larian deras serta keberanian untuk membuka ruang di sebelah tepi. Bagaimanapun, dua konsep itu bukan senjata utama yang dimiliki Ljungberg.
 
Pemain yang terkenal dengan gaya rambut tercacak berwarna itu tetap mempertaruhkan aspek larian untuk memecahkan benteng lawan, namun ia bukan menerusi kepantasan tetapi kebijaksanaan memilih detik yang tepat untuk melakukan larian. Tidak hairan dia pernah digelar sebagai “Raja Serangan Balas”.
 
Dua tahun pertamanya bersama The Gunners tidak begitu cemerlang dan musim 2000/01 menyaksikan dirinya sekadar mencatat kadar kurang daripada satu gol dalam setiap lima aksi buat Arsenal. Bagaimanapun, musim keempatnya mula menampakkan taring sebenar.
 
Ljungberg mencatat 17 gol dalam 39 penampilan bagi musim 2001/02 selain menjadi pembantu utama buat Dennis Bergkamp dan Henry untuk menghasilkan jaringan. Ljungberg sering membuat benteng lawan menjadi keliru dengan larian yang mencelah masuk ke bahagian tengah tatkala pertahanan menjangkakannya untuk menarik sesebuah situasi ke garisan tepi padang.


 
Dalam 216 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, pemain yang melakukan dua penampilan dalam Piala Dunia (2002 dan 2006) itu telah mengutip 46 gol, satu jumlah yang agak tinggi untuk seorang pemain sayap sebelum dunia bola sepak memasuki era moden dengan kehadiran Cristiano Ronaldo, Eden Hazard dan terkini, Mohamed Salah.
 
Apa yang menarik, Ljungberg pernah hampir tidak disenaraikan dalam skuad B-21 Sweden pada 1996 kerana pengendali pasukan, Lasse Lagerback, berasakan tonggak The Gunners itu terlalu pendek tetapi kepercayaan yang diberi telah dibalas dengan dua gol ketika penampilan sulung menentang Denmark.
 
Jika dilihat kepada corak permainannya, terdapat satu pasukan yang mungkin akan disertai Ljungberg sekiranya masih bergelar pemain, iaitu Atletico Madrid. 

Skuad kendalian Diego Simeone itu disebutkan kerana sering menampilkan corak permainan serangan balas yang menarik menerusi Antoine Griezmann, Diego Costa, Koke dan Saul Niguez, sambil majoriti hantaran pendek dan jauh yang dilakukan sentiasa mengelirukan pihak lawan.
 
Sayang sekali, tiga pasukan terakhir dalam karier yang dilalui gagal menamatkan perjalanan bola sepaknya dengan menggembirakan apabila melalui aksi hambar bersama Celtic, Shimizu S-Pulse dan Mumbai City, termasuk dipecat sewaktu menjadi pembantu jurulatih Wolfsburg bersama pengurus, Andries Jonker, pada September 2017.


 
Bagaimanapun, kelibat Ljungberg pasti membuat peminat-peminat Arsenal teringat kembali memori lariannya yang mengelirukan dan yang paling penting, gaya rambut yang sering bertukar warna. 

Jika hari ini penyokong-penyokong The Gunners menjadikan Pierre-Emerick Aubameyang dan Mesut Ozil sebagai bintang pujaan, mungkin minat itu tercetus daripada aksi bintang Sweden ini.
 
Hari ini, genap usianya menjengah 41 tahun dan tiada ucapan lain, selain selamat hari jadi, Freddie!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen