Langkah kanan pasangan 'indie' di Bangkok

Oleh Suzana Basri 14 January 2019 468
Langkah kanan pasangan 'indie' di Bangkok
Istilah 'indie' berasal dari perkataan Inggeris "independent" yang membawa maksud bebas. Ia seringkali digunakan dalam bidang muzik, untuk menghuraikan pemuzik yang bebas dari label rakaman komersil terbesar serta mengambil pendekatan sendiri dan bebas dalam rakaman dan penerbitan muzik.

Bidang sukan mungkin berbeza dengan seni namun kebebasan dalam menentukan hala tuju kerjaya seseorang atlet atau kelab itu adalah sama, cuma bukan tradisi dilabel sebagai 'indie' - sebaliknya lebih sinonim dengan terma 'profesional' dengan menuju ke penghujung 2018, ia semakin membelenggu Persatuan Badminton Malaysia, BAM.

Bermula dengan pengunduran pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dari BAM, kejutan lebih besar apabila dua beregu yang hampir menyumbang emas di Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memilih jalan sama - pantas mengalih tumpuan kepada siapa sebenarnya yang bermasalah, pemain atau BAM?

Ketika Peng Soon-Liu Ying berjaya tamatkan badi tidak pernah mempertahankan kejuaraan dalam mana-mana kejohanan sebelum ini - beregu lelaki di ranking no.14 dunia pula tamatkan kemarau tanpa gelaran dalam dua musim terdahulu dengan kejuaraan di Masters Thailand, tanpa kalah dalam sebarang set kepada lawan.

Ramai melabelkan ia sebagai langkah kanan yang cukup bergaya kepada kerjaya 'profesional' mereka namun hakikatnya keempat-empat pemain ini masih lagi bertatih untuk berdiri diatas kaki sendiri. Selepas ini, harapan peminat sukan badminton pastinya lebih tinggi kepada 2 pasangan 'indie' negara ini. Jangan sesekali lupa, kali ini jika terjatuh mereka perlu bangun sendiri.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen