Langkah kanan belum sempurna

Oleh Fadzrie Hazis 9 November 2018 414
Langkah kanan belum sempurna
Saingan Piala Suzuki AFF kini tiba dan kali ini, penulis kembali diberi peluang untuk turut “turun padang” membuat liputan edisi 2018 kejohanan tersebut selepas lebih tertumpu kepada tugasan selaku penerbit Nadi Arena kini.

Kali terakhir penulis terbabit dengan liputan kejohanan bola sepak serantau ini ialah pada 2014, apabila skuad kendalian Dollah Salleh muncul naib juara.

Sudah pasti kali ini, penulis berharap sejarah gemilang barisan negara muncul juara pada 2010 mampu diulangi.

Aksi pertama negara berdepan Kemboja sudah pun selesai ketika penulis menyiapkan artikel ini, dengan kemenangan tipis 1-0 berpihak Harimau Malaya.

Sebelum ini, penulis ada menyuarakan kerisauan penulis terhadap ketiadaan pemain tengah jenis “playmaker” dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe di saingan kali ini.

Dan kerisauan penulis ada benarnya jika dilihat kepada aksi berdepan Kemboja, ketiadaan seorang pemain tengah mirip permainan Nor Azam Azih atau Safiq Rahim jelas kelihatan.

Mujur buat skuad negara, adanya pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba yang beraksi baik di penampilan sulung Piala Suzuki AFF buat dirinya.

Namun, Syamer lebih bertindak sebagai pemain tengah bertahan yang efektif dan pasangannya di bahagian tengah, Akram Mahinan turut tampak memiliki corak permainan sama.

Bukan Akram pemain yang tidak berkualiti, namun penulis percaya pemain tengah Kedah ini berupaya menjelmakan aksi lebih baik dan penulis pernah menyaksikan permainan lebih ampuh daripadanya.

Dengan formasi 4-2-3-1 digunakan Tan Cheng Hoe, dua pemain tengah perlu memainkan peranan mereka dan mendominasi bahagian tengah buat pasukan.

Bahagian serangan yang diterajui kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak juga perlu lebih tajam dalam menyempurnakan peluang gol.

Apa pun, masih ada tempoh beberapa hari buat Cheng Hoe menilai semula prestasi pemain di latihan untuk mencongak strategi terbaik berdepan Laos dalam aksi kedua Kumpulan A pada 12 November ini.

Satu kelebihan skuad kendalian Cheng Hoe kali ini ialah dia mempunyai banyak pilihan di posisi sayap dan serangan.

Selaku jurulatih, penulis percaya Cheng Hoe lebih mengetahui pendekatan terbaik buat pasukan.

Namun, penulis tetap berharap Cheng Hoe melakukan sedikit pergiliran pemain bagi memastikan pemain sentiasa segar menghadapi setiap perlawanan.

Sharel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri tampak memberikan sedikit impak apabila masuk sebagai pemain gantian di babak kedua.

Penulis percaya Harimau Malaya akan menjelmakan aksi lebih garang di Stadium Nasional 12 November ini.

Dan penulis turut meramalkan penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha yang meraih gol tunggal berdepan Kemboja akan menyinar pada saingan kali ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen