Lampard ke Chelsea -- Senasib atau lebih baik daripada Solskjaer?

Oleh Ammar Hakim 30 June 2019 868
Lampard ke Chelsea -- Senasib atau lebih baik daripada Solskjaer?
Frank Lampard di ambang kembali ke Chelsea, bukan untuk mengepalai jentera tengah, sebaliknya menerajui barisan The Blues dalam kancah saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah sebagai pengurus pasukan.

Perkhabaran itu hadir selepas hanya setahun pengalamannya bersama Derby County apabila membimbing pasukan tersebut ke aksi final playoff dan mengakhiri saingan selaku naib juara Liga Kejuaraan, namun gagal membawa pasukan ke saingan EPL. 
Jadi, jika Chelsea berjaya mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Maurizio Sarri yang telah kembali ke Itali membimbing Juventus, persoalannya mampukah Lampard berjaya dalam bidang pengurusan di Stamford Bridge?

Jawapan pertama kepada persoalan ini, ya. Di saat ini, Lampard merupakan individu yang paling mengenali Chelsea berbanding beberapa pengurus yang berpotensi di Eropah, namun kecetekan pengalamannya bakal menjadi penghalang paling besar untuk membawa Chelsea menuju kejayaan.

Lampard dikaitkan untuk mengambil alih Chelsea kerana dia merupakan salah seorang pemain terbaik yang pernah beraksi untuk kelab itu. Pencapaian itu membenarkan dia mengawal bilik persalinan Chelsea, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Sarri musim lalu.

Penggantungan kelab daripada melakukan sebarang aktiviti pembelian pemain dalam jendela perpindahan bagi musim 2019-2020 memaksa The Blues lebih terarah dalam menggunakan barisan pemain muda yang dipinjamkan ke kelab lain sebelum ini. 
Pemain-pemain seperti Mason Mount dan Tomori Fikayo yang beraksi di bawah pimpinan Lampard bersama Derby bakal dilihat mendapat peluang untuk turun beraksi di Stamford Bridge.

Ini bermakna jika Lampard terpilih membimbing Chelsea, dia telah disediakan sebilangan besar pemain muda yang berpotensi dan pernah berkerjasama dengannnya. Tambahan lagi, dia turut membuktikan perbelanjaan besar tidak diperlukan untuk berjaya apabila membawa Derby ke final playoff musim lalu, jadi penggantungan perpindahan Chelsea bukanlah masalahnya baginya.

Di sebalik keberangkalian yang telah dihujahkan di atas, Lampard boleh juga menjadi pilihan yang salah buat Chelsea. Pengalamannya semusimnya membimbing pasukan adalah perkara yang bakal menghantuinya jika gagal menjelmakan aksi terbaik buat The Blues. Pengalaman dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sesuatu yang Lampard belum rasai, lantas sasaran yang tinggi untuk ditetapkan kepadanya.

Tambahan pula, mendapatkan khidmat bekas legenda kelab memberikan satu pengalaman yang nostalgik. 

Manchester united musim lalu mengambil khidmat Ole Gunnar Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho. Segalanya bermula indah dengan menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi gagal merekod sebarang kemenangan dalam enam aksi terakhir, termasuk seri 1-1 dengan Huddersfield dan tewas 2-0 kepada pasukan yang telah tersingkir, Cardiff City. 

Kegagalan Solskjaer menyinar bersama United melontarkan tanda Tanya adakah ia jalan yang tepat buat Chelsea mengikut jejak langkah yang sama dengan mendapatkan khidmat legenda kelab itu tetapi kurang pengalaman dalam bidang pengurusan.

Akhir kata, walaupun Lampard dijangka kembali ke Chelsea sebagai pengurus, The Blues perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mendapatkan khidmatnya -- buat masa ini.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen