Laluan berliku Ole!

Oleh Dayang Zainatull 5 March 2019 3599
Laluan berliku Ole!
Skuad Manchester United terbang ke Paris untuk pertemuan timbal balik berdepan PSG dalam keadaan serba kekurangan. United tempang dalam perlawanan timbal balik ini selepas tewas di Old Trafford 0 -2 hasil jaringan Kylian Mbappe dan Presnel Kimpembe pada perlawanan pertama. United memerlukan sekurang-kurangnya tiga gol dan dalam masa sama, gawang mereka tidak dibolosi.

Dayang secara realisitiknya merasakan ini adalah satu misi yang hampir mustahil buat United biarpun kenyataan ini sukar diterima peminat tegar The Red Devils. Ini adalah kerana skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berdepan laluan yang cukup berliku bukan sahaja dari pihak lawan, tetapi keadaan dalaman semasa skuad The Red Devils.

Pemain tonggak yang sering membarisi kesebelasan utama United seperti Anthony Martial, Jesse Lingard, Ander Herrera dan Nemanja Matic tidak cukup cergas dan berada dalam fasa pemulihan dari kecederaan. Selain itu, pemain berpengalaman seperti Antonio Valencia, Phil Jones, Juan Mata dan Alexis Sanchez juga dilaporkan berada dalam senarai pemain yang tercedera. Ini secara tidak langsung memaksa OGS membawa beberapa pemain muda seperti Angel Gomes, Tathith Chong dan James Garner untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain senior.

Ketiadaan jeneral di tengah padang, Paul Pogba yang dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama juga sedikit sebanyak menjejaskan persembahan United yang mana sebelum ini, mereka amat bergantung kepada kelincahan dan hantaran-hantaran penting dari Pogba.

Cuma faktor mempersembahan baik di peringkat liga dan momentum kemenangan dilihat menjadi azimat United untuk bangkit melakarkan kemenangan di gelanggang lawan, biarpun sedar ianya bukan misi yang mudah. 

Di atas kertas, PSG adalah pasukan pilihan untuk mara ke peringkat yang sererusnya, bahkan andai pasukan PSG dapat mengambil kesempatan di atas ketempangan United saat ini, tidak mustahil mereka mampu melakar kemenangan yang besar pada pertemuan yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis.

Diharapkan tuah OGS masih kekal bersama United dalam pertembungan ini walaupun berdepan jalan berliku kerana bola itu bulat dan apa sahaja boleh terjadi di atas padang. Tentunya ramai peminat The Red Devils  mengharapkan perkara pelik berlaku seperti layangan kad merah di awal permainan terhadap pemain lawan atau mungkin, United mampu mendapatkan dua gol sebelum tamatnya separuh masa pertama.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen