La Albiceleste hanya tenang di permukaan

Oleh Shaiful Shamsudin 31 May 2018 825
La Albiceleste hanya tenang di permukaan
Tiga jurulatih dalam tempoh setahun serta pergolakan dalaman Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) menyumbang kepada ketidaktentuan skuad La Albiceleste menjelang Piala Dunia Russia, bulan depan. 

Bintang utama, Lionel Messi, menjadi wira pada saat-saat getir ketika Argentina berada di jurang aib dalam kempen kelayakan. 

Jorge Sampaoli, yang hadir dengan reputasi hebat bersama Chile, masih tercari-cari formula tepat untuk meletakkan prestasi Argentina di tahap optimum. 

Selain Messi, Argentina memiliki penggempur handalan seperti Sergio Aguero, Gonzalo Higuian and Paulo Dybala, namun aksi mereka di peringkat antarabangsa masih jauh untuk dibanggakan. 

Bagi mengimbangi kekuatan serangan, Sampaoli membariskan pemain berpengalaman seperti Nicolas Otamendi, Federico Fazio, Marcos Rojo di samping Gabriel Mercado dan Cristian Ansaldi. 

Malah, kehilangan Sergio Romero turut menyentak persiapan mereka dengan penjaga gol veteran, Willy Caballero, dijangka diberi amanah untuk mengawal benteng terakhir. 

Pemain muda, Cristian Pavon, bakal menjadi senjata rahsia Argentina dalam kempen sebenar nanti susulan kombinasi hebatnya bersama Messi ketika membenam Haiti semalam biarpun dimasukkan sebagai pemain gantian sahaja. 

Ketika berkesempatan bertemu Hernan Crespo -- tampil dalam tiga edisi Piala Dunia bersama Argentina -- di ibu kota baru-baru ini, bekas penyerang yang kini bermastautin di Itali itu sedikit cemas dengan Sampaoli yang bersikap tegas mengenai pemilihan Mauro Icardi dan Dybala. 

"Saya takut memikirkannya. Argentina berdepan masalah dalaman sambil Dybala dan Icardi tidak tersenarai. 

"Argentina memerlukan salah seorang daripada mereka walaupun adanya Messi. 

"Mereka merupakan pemain yang boleh mengubah tempo perlawanan," kata Crespo. 

Kedua-dua pemain itu langsung tidak tersenarai ketika mereka dibelasah Sepanyol 1-6 dalam perlawanan pemanas badan. Perlawanan itu menjadi saksi betapa Argentina hilang sengat tanpa Messi di atas padang. 

Ini kerana Dybala mahupun Icardi berkebolehan mengucar-kacirkan benteng lawan dan lebih penting, mampu menghasilkan transisi baik dari bahagian tengah ke serangan. 

Argentina akan membuka kempen Piala Dunia Russia dengan menentang Iceland di Moscow, 16 Jun ini ,disusuli aksi dengan Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D. 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen