Kuota ASEAN : Berbaloi ke?

Oleh Dayne Azmin 28 December 2017 213
Kuota ASEAN : Berbaloi ke?
Hampir kebanyakan pasukan bersaing dalam Liga Super seperti dijangka mengambil khidmat pemain dari ASEAN berdasarkan syarat terbaru diperkenal Usahasama Liabliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) musim depan.

Pada awal pelaksanaan, kebanyakan pasukan begitu berminat dapatkan bintang-bintang dari Thailand dan Indonesia kerana terdapat ramai pemain berkualiti yang boleh diketengahkan.

Apabila masa terus berlalu, segala yang dirancang tidak menjadi kenyataan, sebaliknya import Singapura, Kemboja dan Filipina menjadi pilihan.

Jika tidak atas pendirian Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Jeneral Edy Rahmayadi, yang melarang pemain selepas Evan Dimas dan Ilham Udin, ke Malaysia, mungkin lebih ramai menjejak langkah mereka.

Bagi Thailand dan tidak ketinggalan Vietnam, ketiadaan kelompok pemain sememangnya dijangka kerana mutu liga bola sepak negara kita tidak menarik perhatian mereka.

Jika dahulu era 90 an, pemain negara 'Gajah Putih' berebut-rebut mahu datang ke Liga Malaysia termasuk jurulatih skuad bawah 23 tahun Thailand, Worrawot Srimaka, yang pernah beraksi di Kelantan.

Bagaimanapun, mutu liga mereka sudah jauh tinggalkan Liga Malaysia yang membuatkan tidak mungkin pemain Thailand akan ke sini, begitu juga Vietnam.

Maka kuota ASEAN ini hanya buka pintu rezeki kepada pemain-pemain Singapura, Filipina dan Kemboja, yang setakat ini sudah mengisi sebahagian besar pasukan dalam Liga Super.

Antaranya Shahdan Sulaiman (Melaka), Thierry Chanta Bin (Kemboja) dan Madhu Mohana (Negeri Sembilan), selain jangkaan Faris Ramli ke Perak serta Baihakki Khaizan ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan kualiti pemain kuota ASEAN yang telah disahkan kehadiran di sini, berbaloi atau tidak pilihan pemain import ini?

Jika diteliti satu persatu nama pemain-pemain terbabit, rasanya masih ada pemain tempatan yang lebih baik, pada tahap yang sama atau tidak jauh berbeza dengan mereka.

Secara tidak langsung, peluang 12 pemain tempatan untuk beraksi dalam Liga Super pasti akan tertutup bagi memberi laluan kepada slot pemain import ASEAN ini.

Mungkin daripada segi pemasaran serantau, saya setuju ia buatkan peminat di Asia Tenggara mahu ikuti perkembangan Liga Malaysia tetapi tidak kepada peningkatan mutu bola sepak kita.

Bagaimanapun, apa kata kita bagi peluang selama satu musim ini sebagai tempoh percubaan, sama ada lebih banyak tinggalkan kesan positif atau sebaliknya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen