‘Kongsi impian gemilang di Gold Coast’

Oleh Suzana Basri 5 April 2018 1472
‘Kongsi impian gemilang di Gold Coast’
‘Share the dream’ atau berkongsi impian, adalah motto Sukan Komanwel di Gold Coast kali ini.

Bukan sahaja impian generasi atlet 71 buah negara yang mahu direalisasikan, malah impian peribadi sejak sekian lama untuk jadi sebahagian warga petugas di temasya sukan kedua terbesar dunia ini, turut mahu saya penuhi.

Gambaran awal buat saya, semuanya indah. Kali pertama menjejakkan kaki di bumi Australia ini, persisiran pantai Gold Coast seindah lukisan, mempersonakan saya.

Mungkin ramai sukakan Surfer’s Paradise, tetapi saya gemarkan ketenangan Broadbeach dengan hembusan angin di tepi pantai Kurrawa.

Prosedur keselamatan sememangnya ketat, tetapi ia tidak harus mengganggu hasrat peminat-peminat sukan Malaysia yang ingin hadir memberikan sokongan kepada kontinjen negara di sini.

Kerana petugas dan pegawai keselamatan mereka semuanya ramah, sanggup memberikan layanan ‘nilai tambah’ untuk memastikan pengalaman kita tidak terjejas dengan segala macam peraturan.

Tempoh 10 minit berjalan kaki daripada tempat penginapan ke Pusat Pameran dan Konvensyen Gold Coast – tempat berhimpunnya ribuan petugas media – tidak pernah melunturkan semangat untuk memberikan yang terbaik.

Bayangkan betapa terujanya saya apabila ditugaskan selaku penyampai pertama bersiaran langsung dari Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) untuk tatapan penonton program berita Nadi Arena pada Selasa.

Ia membuatkan segala persiapan dan ‘homework’ sejak beberapa bulan lalu, ditambah lapan jam perjalanan di udara dan kerisauan melihat rakan sepasukan lainnya menyelesaikan pelbagai masalah teknikal, memang berbaloi di akhirnya!

Hari ini, cabaran kontinjen negara akan bermula. Harapan pingat, saya harapkan emas, bakal diperjuangkan barisan atlet-atlet terpilih negara pada hari pertama temasya.

Kita sama-sama doakan kejayaan untuk seluruh kontinjen negara. Doakan juga saya dan rakan-rakan lain dalam pasukan Astro Arena di sini, kerana janji kami ialah memberikan liputan terbaik kepada anda semua di Malaysia!

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen