KJ - Syed Saddiq: Gandingan Impian ​

Oleh Bazly Azmi 3 July 2018 6042
KJ - Syed Saddiq: Gandingan Impian ​
Ramai pasti setuju jika YB Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergandingan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kedua-duanya ada keserasian walaupun Khairy, memiliki haluan politik berbeza, dilihat sebagai mentor Syed Saddiq terutama dalam program Felo Perdana hingga diangkat sebagai menteri.

Malah, Syed Saddiq juga mengharapkan tunjuk ajar Khairy untuk tempoh permulaannya di KBS.

"Saya hendak hantar mesej jelas, walaupun kita berbeza pendapat, kita bersama angkat martabat anak muda.

"Pada masa sama, kita menghargai jasa bakti pimpinan terdahulu yang menyumbang pembangunan modal insan belia, termasuk saya dari Felo Perdana, dan program ini harus diteruskan," Ujar Syed Saddiq ketika sidang media selepas sesi menandatangani nota serah tugas menteri.

Begitupun, kita perlu terima hakikat kerjasama itu tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Cabaran Syed Saddiq bukan mudah walaupun beliau mengetuai kementerian dengan hierarki paling junior dalam bahasa sukan, tetapi saya lihat antara yang mencabar.

Antara idea awal dilontarkan Syed Saddiq ialah mengkaji semula Program Rakan Sukan, Pendidikan Jasmani, berjogging bersama kakitangan KBS dan membuka semula siasatan kes penyelewengan RM100 Juta di KBS.

Saya fikir, beliau perlu beri keutamaan mana yang penting.

Atlit negara sedang sibuk membuat persiapan menghadapi Sukan Asia Indonesia, bulan depan. Sama ada berjaya capai sasaran atau tidak, ia tidak akan menjadi indeks penunjuk prestasi (KPI) Syed kerana masa terlalu singkat.

Tetapi, jika beliau dapat bantu menyumbang idea dalam masa sesingkat ini hingga dapat meningkatkan beberapa peratus dalam persiapan kontinjen negara, ia pasti lebih baik.

Perlu diingatkan, banyak mata memandang kelancaran pengurusan semua agensi dibawah KBS memandangkan anda baru berusia 26 tahun.

Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan semua persatuan sukan kebangsaan perlu diutamakan untuk tempoh dua bulan ini. Kenali mereka, cara mereka bekerja dan format pertandingan beberapa jenis sukan - ia akan membantu menteri lebih dekat dengan komuniti sukan.

Selamat berjaya bro!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen