Kita mesti berani bermain sentimen hadapi setiap lawan

Oleh Shaiful Shamsudin 10 September 2019 713
Kita mesti berani bermain sentimen hadapi setiap lawan
'Boleh menang ke malam ini?' Itu ayat lazim yang berlegar-legar di pejabat hari ini sempena pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan C, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023, malam ini.

Mengenangkan hala tuju Harimau Malaya sebelum ini cukup perit untuk dikenang.

Beberapa kali penyokong negara melancarkan tanda protes ketika perlawanan berlangsung. Antaranya pada 2014 apabila bom asap dan laungan mengkritik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkumandang ketika berdepan Filipina di Stadium Selayang.

Kejadian hampir sama berlaku setahun kemudian ketika bertemu Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Shah Alam.

Semuanya demi satu tujuan -- untuk melihat skuad kebangsaan menyinar di pentas antarabangsa.

Jadi, sempena aksi kedua kempen di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini, ada baiknya kalau kita mula bermain dengan sentimen ketika menghadapi setiap perlawanan sebagai pemangkin semangat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Keempat-empat negara yang bakal dihadapi, kesemuanya mempunyai cerita tersendiri untuk dikenang, sekali gus dijadikan panduan untuk bekalan pencetus semangat.

INDONESIA
Ranking: 159

Ini adalah pertemuan serumpun. Sentimen sebenarnya lebih menjurus kepada Indonesia sedangkan Malaysia melihat pertemuan ini tidak lebih kepada misi tiga mata.

UAE
Ranking: 65

Pasukan terkuat dan mimpi ngeri buat Malaysia dalam edisi kelayakan 2018 di Abu Dhabi. Mereka menghadiahkan kekalahan terburuk 0-10 kepada skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh.

Pertemuan timbal balik selepas itu berlangsung tanpa penonton di Stadium Shah Alam apabila Malaysia hanya tunduk 1-2.

Kali ini, anak buah Cheng Hoe akan turun dengan misi untuk membuktikan skuad negara di landasan kebangkitan. Bukan sahaja ingin mengelak kekalahan, malah mahu memastikan permainan yang lebih tersusun serta mewujudkan tekanan kepada pihak lawan yang kini dibimbing Bert van Marwijk.

THAILAND
Ranking: 115

Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dengan skuad Gajah Perang ini. Apatah lagi dalam kempen Kejohanan Piala AFF tahun lalu, kita berjaya menyingkirkan mereka di tempat sendiri hasil kelebihan jaringan di tempat lawan.

Kemaraan Malaysia kononnya atas elemen nasib disebabkan lawan tidak menurunkan ramai pemain terbaik mereka.

Lagipun, pencapaian mereka di peringkat antarabangsa lebih maju, termasuk sudah mula mengeksport pemain ke liga utama Jepun.

VIETNAM
Ranking: 97

Kini dibimbing jurulatih kelahiran Korea Selatan, Park Hang-seo, Vietnam cukup digeruni atas permainan mantap mereka.

Mereka seri tanpa jaringan dengan Thailand dalam aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia 2022, Khamis lalu.

Kempen Piala Asia 2019 mereka juga meraih pujian apabila mampu memberikan saingan hebat kepada Iraq dan Jepun.

Vietnam menjulang Piala AFF 2019 juga hangat diperkatakan. Mereka mendominasi kedua-dua pertemuan final untuk menenggelamkan taktikal 'Ah Hoe'.

Jadi, adalah menarik untuk melihat sejauh mana peningkatan skuad negara untuk berdepan mereka di peringkat yang lebih tinggi kali ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen