Kisah dendam, Cheng Hoe dan Hijau Kuning

Oleh Aidie Ramlan 18 October 2016 118
Kisah dendam, Cheng Hoe dan Hijau Kuning

Dua. Angka yang pasti terngiang-ngiang di fikiran bekas penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe. 

Final kedua di antara Kedah dan Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2015. 

Dua gol awal dalam separuh masa pertama dan kedua. 

Dua jaringan Hazwan Bakri dan dua bantuan jaringan daripada Guilherme de Paula yang akhirnya memadamkan harapan menggunung pasukan Kedah untuk merangkul gelaran kelima selaku juara Piala Malaysia.

Itu cerita tahun lalu. Kali ini pasukan yang sama melangkah ke pentas final, stadium yang sama dan senarai pemain yang hampir sama.
Namun, Cheng Hoe pasti mahukan skrip yang berbeza di pengakhirannya. 

Individu yang pernah didesak segelintir peminat supaya meletakkan jawatan sewaktu pertengahan liga, kini berjaya mengulangi pencapaian cemerlang berada di pentas final dan beliau pasti mahu menutup segala kritikan dengan membawa pulang Piala Malaysia ke Darul Aman.

Bagi pemain utama seperti Khairul Helmi Johari dan Baddrol Bakhtiar yang pernah mengecapi pengalaman menumpaskan Selangor dan merangkul kejuaraan Piala Malaysia bersama Kedah ketika zaman gemilang mereka pada 2007-2008 di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah, suasananya kini berbeza.

Apatah lagi, kedua-duanya adalah pemain senior dan mungkin Baddrol bakal menggalas tugas selaku kapten kerana Keon masih lagi belum pulih daripada kecederaan selepas beraksi buat pasukan kebangsaan.

Bagi peminat fanatik pasukan Kedah yang berada di stadium pada 12 Disember 2015, mereka pasti masih mengingati betapa terasa jauhnya perjalanan pulang dengan tangan kosong dari Shah Alam ke utara tanah air selepas tersungkurnya Kedah. 

Biarpun berjaya 'menghijaukuningkan' stadium Shah Alam dengan jumlah penyokong yang lebih ramai, mereka terpaksa akur apabila Lang Merah tidak mampu terbang tinggi pada malam itu.

Hanya kejayaan menumbangkan Selangor di pentas final nanti akan menjadi ubat paling mujarab buat tenaga kejurulatihan, pemain dan juga peminat Kedah bagi menutup saingan musim ini selepas dihimpit hal-hal seperti pertukaran presiden KFA dan juga ketidaksefahaman dalam kalangan peminat.

Aksi final nanti akan menjadi medan perang taktikal di antara kedua-dua pasukan. 

Sama ada Cheng Hoe mampu melunaskan dendam tumpas di final tahun lalu ataupun mungkin Hazwan Bakri sekali lagi akan menjadi wira buat pasukan The Red Giants.
Penentuannya ialah pada Ahad, 30 Oktober nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen