Khidmat simbol kebangkitan The Catalans terus diburu 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 April 2018 1278
Khidmat simbol kebangkitan The Catalans terus diburu 
Pada hari Ronaldinho mengumumkan detik perpisahannya bersama Barcelona, beliau tetap berteguh bahawa kelab Catalan itu di landasan tepat untuk mendominasi, bahkan lebih hebat lagi dengan menamakan Andres Iniesta di samping Xavi Hernandez dan Sergio Busquets. 

Kini, giliran Iniesta pula bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang menggilap bakatnya pada 22 tahun lalu. 

"Di atas padang, saya menggemarinya berada dekat dengan saya, terutama apabila permainan berlangsung buruk dan dalam keadaan sukar. Pada saat itu saya pesan kepadanya supaya datang dekat. Dia kemudian mengambil kawalan dan tanggungjawab itu," kata rakan sepasukan dan pemenang lima kali Anugerah Ballon D'or, Lionel Messi. 

Bakal mencecah 34 tahun sebelum sepak mula Piala Dunia Russia, Iniesta bukan lagi muda, namun keunikan sentuhannya masih memukau. Dia sedar pada usia sebegitu, adalah sukar buatnya beraksi di peringkat tinggi sepanjang masa. 

Iniesta tidak sanggup memainkan peranan kecil dengan membuat kemunculan dari bangku simpanan. Baginya, nikmat beraksi di atas padang adalah objektif utama. Maka, tidak hairanlah kalau Barca menawarkan kontrak seumur hidup pun tidak disahutnya. 

Pemain tengah itu dicadangkan ke kancah bola sepak lebih rendah di China seperti mana jejak rakan baiknya, Xavi, yang memilih kelab yang berpangkalan di Qatar, Al Sadd SC.

Laungan 'Iniesta, jangan pergi' berkumandang ketika mereka di ambang kemenangan besar Copa del Rey ke atas Sevilla di Wanda Metropolitano, hujung minggu lalu. 

Begitupun perkembangan mutakhir ini menyaksikan beberapa kelab utama Eropah sedia membuat tawaran, kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) seakan-akan melambainya, termasuklah bekas jurulatihnya, Pep Guardiola, di Manchester City manakala Luis Enrique pula turut menyatakan minat dengan kemungkinan mengasuh Arsenal dan Chelsea. 

Sehingga saat Iniesta membuat pengumuman rasmi tentang hala tuju kariernya, jauh di sudut hati, ramai yang ingin menyaksikan kredibiliti Iniesta di peringkat tinggi Eropah untuk setidak-tidaknya semusim lagi.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen