Kenapa Sukan SEA KL 2017 menarik untuk disaksikan?

Oleh Adam Zamri 14 August 2017 151
Kenapa Sukan SEA KL 2017 menarik untuk disaksikan?
Acara sukan terhebat tahun ini sudah pun bermula dengan kehangatannya kian terasa. Acara bola sepak lelaki dan bola jaring sudah pun membuka tirai. Bukan selalu acara sebegini kerap diadakan di Malaysia, kerana kali terakhir kita berjaya menghimpunkan barisan atlit terbaik di rantau ini untuk temasya Sukan Sea adalah pada 2001, iaitu 16 tahun lalu.

Banyak perkara menarik untuk diterokai bagi Sukan SEA edisi kali ini kerana selain mahu menyaksikan Malaysia muncul juara dengan pungutan 111 pingat emas, Malaysia juga gigih menaiktaraf prasarana dan venue pertandingan seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata Arena, Stadium Hoki Nasional  dan juga gelanggang luncur ais di Empire City.

Turut idak dilupakan, edisi Sukan SEA kali ini juga menghimpunkan atlit-atlit terbaik dunia. Malaysia bakal menurunkan 5 juara dunia, Azizulhasni Awang (Basikal Trek), Cheong Jun Hong (Terjun), Al Jufferi Jamari (Silat) serta dua atlit paralimpik yang bakal membuat penampilan pertama mereka di Sukan SEA bersaing dengan atlit normal iaitu Latif Romly ( lompat jauh), Ziyad Zolkefli (lontar peluru).

Negara jiran juga tidak ketinggalan apabila menyenaraikan beberapa pemenang pingat olimpik Rio antaranya Thailand yang menyenaraikan Tawin Hanprab dan Panipak Wongpattanakit yang memenangi perak dan gangsa , Vietnam juga tidak ketinggalan menggunakan khidmat penembak Hoang Xuanvinh yang memenangi emas, dan paling mencuri tumpuan, perenang Singapura, Joseph Schooling  yang ikrar mahu mengajar perenang tempatan di Sukan SEA kali ini.

Sukan Sea Kuala Lumpur bakal mempertandingkan sebanyak 404 acara meliputi 38 jenis sukan. Malaysia pula mencatat sejarah dengan menghantar jumlah atlit paling ramai iaitu 845 orang. Ia jauh lebih banyak berbanding 16 tahun lalu ketika Malaysia menjadi tuan rumah untuk sukan SEA Kuala Lumpur 2001, hanya 673 orang atlit.

Jadi apa lagi alasan anda untuk tidak menjadi sebahagian daripada acara sukan terbesar di rantau ini?

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen