Kenapa Nakamura, kenapa?

Oleh Hafiz Azwany Taher 10 April 2018 1373
Kenapa Nakamura, kenapa?
Perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat gusti seluruh dunia melibatkan AJ Styles dan Shinsuke Nakamura menjadi realiti di acara WWE Wrestlemania semalam.
 
Dengan Kejuaraan WWE milik AJ Styles menjadi taruhan, para WWE Universe ingin melihat sama ada kehebatan perlawanan yang pernah disajikan kedua bintang sensasi ini ketika di Jepun beberapa tahun lalu dapat diulang semula.
 
Corak perlawanan dilihat seimbang apabila kedua bintang ini saling bertukar serangan dan kunci submission. Seakan dapat mengagak langkah seterusnya pihak lawan hasil pengalaman perlawanan lalu, sukar untuk peminat membuat telahan siapakah yang bakal memenangi perlawanan ini.
 

 
Ternyata, kelebihan dan tuah menyebelahi kepada sang juara. Gerakan lutut Kinsasha oleh Nakamura tidak berjaya singgah di muka AJ dan ia ditangkis dengan gerakan penyudah Styles Clash. Kesudahannya, Nakamura terpaksa berputih mata dan hasrat untuk mencipta sejarah sebagai bintang Jepun pertama bergelar Juara WWE tidak kesampaian.
 
Bagi meraikan semangat kesukanan dan profesionalisme yang tinggi, kedua bintang ini saling berpelukan pasca perlawanan. Malah, Nakamura sendiri melutut di hadapan AJ demi mempersembahkan bengkung Kejuaraan WWE sebagai tanda hormat.
 
AJ yang tidak mengesyaki apa-apa terharu melihat perlakuan bintang kelahiran Kyoto, Jepun itu. Namun tanpa disangka-sangka, ia rupanya adalah muslihat licik Nakamura apabila secara tiba-tiba satu pukulan tepat ke bahagian celah kelangkang dihadiahkan kepada AJ.
 

 
Dengan penuh sifat dendam dan benci, beberapa tendangan susulan diberikan oleh Nakamura kepada AJ memaksa pengadil campur tangan agar ia dihentikan segera. AJ yang tidak berdaya ditendang keluar dari gelanggang dan satu lagi gerakan Kinshasa diberikan untuk memuaskan hati Nakamura.
 
Perilaku Nakamura ini nyata mengundang rasa terkejut kepada seluruh peminat. Mengapa Nakamura begitu keji dengan tidak boleh menerima kekalahan, dan sanggup memperlakukan lawannya sedemikian rupa?


 
Untuk memperhalusi perkara ini, banyak faktor yang dilihat menjadi penyumbang kepada tindakan Nakamura ini. Salah satunya mungkin kerana bintang berusia 38 tahun ini sudah penat menjadi ‘budak baik’ dan hanya menjadi pak turut kepada sistem sedia ada.
 
Tidak dapat dinafikan, sejak penyertaannya ke roster utama Smackdown Live pasca Wrestlemania tahun lalu, tidak banyak pencapaian positif yang dikecapinya. Beberapa kali percubaannya untuk bergelar Juara WWE dengan mencabar juara tahun lalu, Jinder Mahal tidak menjadi apabila tewas beberapa kali. Peranannya di jenama biru tersebut juga tidak berapa menonjol dan hanya dilhat menjadi nasi tambah dalam beberapa acara.
 
Kemenangannya di acara Royal Rumble pada awal tahun lalu barulah menampakkan sedikit sinar kepadanya. Setelah menempah tempat sebagai pencabar utama dan memilih AJ Styles sebagai lawannya di Wrestlemania, tidak banyak yang boleh dilakukan Nakamura bagi menghangatkan konfrontasinya dengan AJ. Hanya kerana beliau adalah seorang bintang suka ramai dan tidak boleh melakukan sesuatu di luar kebiasaan bagi membuktikan keupayaan sebenarnya.
 

 
Dengan menyerlahkan sisi gelapnya seperti semalam, Nakamura diilhat akan bertukar arah dan menjadi seorang bintang yang tidak lagi meletakkan rasa suka peminat sebagai prioriti. Menjadi seorang bintang berhaluan kiri akan memberikan lebih kebebasan kepadanya untuk bertindak di luar batasan sedia ada dan ini sekaligus dapat meletakkan dirinya untuk terus relevan di kalangan peminat.
 
Dengan batasan bahasa yang menjadi batu sempadan Nakamura selama ini, beliau tidak perlu lagi menggunakan kata-kata untuk membuktikan siapa dirinya yang sebenar. Cukup dengan tujahan lutut ke mula lawannya dengan gaya yang menjengkelkan, ia barangkali sudah cukup untuk mengundang rasa benci peminat kepadanya.
 
Transisi serta perubahan sikap ini juga dilihat mampu untuk membawa Nakamura berada di tempat yang lebih tinggi. Sudah tentu sengketanya dengan AJ Styles akan berlarutan dan menjadi lebih hangat selepas ini. Perlawanan ulangan pasti berlaku. Di situlah nanti Nakamura boleh melakukan apa sahaja ke atas AJ asalkan Kejuaraan WWE mampu digenggaminya.
 
Dengan latar belakang MMA (mixed martial arts) yang dimilikinya, Nakamura edisi baharu ini barangkali boleh menjadi Brock Lesnar versi Smackdown dengan menumbangkan semua yang cuba menghalangnya. Dengan menjadi seseorang yang tidak lagi terikat dengan sistem yang mengongkong, Nakamura mampu menjadi seorang bintang yang digeruni dan tidak lagi dipandang enteng oleh individu lain.
 
Bayangkan, Nakamura bersisi gelap menjadi Juara WWE yang tidak mampu dihentikan oleh sesiapa. Akhirnya keadaan bakal memaksa Pengurus Besar Smackdown, Daniel Bryan mengikat but kembali dan mencipta sengketa seterusnya dengan pertembungan epik antara Nakamura dan Daniel Bryan pula bakal mengambil tempat.
 

 
Sudah tentu ia akan menjadi sebuah lagi perlawanan impian dan epik yang bakal menjadi buah mulut peminat gusti profesional. Baik atau jahat, Nakamura pastinya mempunyai agendanya yang tersendiri. Dan ia tidak sesekali memerlukan sebarang restu atau lampu hijau daripada sesiapa.
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Backlash dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro dan Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen