Kenapa Nadal 'Raja gelanggang tanah liat'?

Oleh Sharon Wee 12 June 2018 5373
Kenapa Nadal 'Raja gelanggang tanah liat'?
Rafael Nadal juara 11 kali tenis Terbuka Perancis. 

Tiada siapa dapat memecah dominasi pemain 32 tahun Sepanyol ini di gelanggang tanah liat. 

Pencabarnya termasuk Roger Federer dan pengikut sukan tenis pasti tertanya-tanya kenapa Nadal sukar ditewaskan di gelanggang kegemarannya.

Ini adalah antara analisis saya:

1. Topspin

Topspin forehand Nadal merupakan senjata paling merbahaya kerana kebolehan menggunakan teknik itu secara konsisten dan tepat sehingga melantun tinggi dan berpusing menyukarkan pencabar melakukan serangan. Malah, ada di antara pemain kurang berpengalaman tidak dapat mengawal pukulan itu sehingga melakukan pukulan keluar gelanggang. 

2. Ciri gelanggang tanah liat

Pergerakan bola di gelanggang ini lebih perlahan dan ia bukan sahaja memberi lebih banyak masa kepada Nadal yang mempunyai sejarah mengalami kecederaan lutut yang agak kerap berlari ke arah bola. Apa yang membuatnya amat berbisa adalah corak permainan bertahan yang diakui terbaik di dunia oleh lawan terdekatnya sendiri. 

Disebabkan lantunan agak perlahan, rali selalunya lebih panjang berbanding gelanggang keras dan rumput yang tidak memastikan kemenangan walaupun pemain itu melakukan pukulan kuat. Seperti di final tahun ini, Dominic Thiem acap kali menerapkan pukulan deras namun dapat dipertahankan oleh Nadal sehingga Thiem melakukan kesilapan kerana kepenatan atau sudah berputus asa.

3. Karakter luar biasa

17 Grand Slam dalam genggaman sudah memberi gambaran karakter sebenar Nadal di dalam dan luar gelanggang. Beberapa tabii yang mencuitkan hati para peminat antaranya Nadal akan pastikan botol airnya diletakkan di kedudukan yang sama sepanjang perlawanan mahupun caranya masuk kedalam gelanggang sebelum bermula dan ritualnya sebelum melakukan servis.

Selain semua itu, apa yang membawa Nadal kejayaan sebagai pemain nombor 1 dunia sudah pasti ketahanan mental, kesabaran, komitmen dan staminanya. 

Di gelanggang tanah liat di mana rali berpanjangan, di sinilah kesabaran dan ketahanan mental Nadal membawanya kejayaan demi kejayaan. 
Juga dia jarang memberi mata percuma kepada lawan dan tidak selalu melakukan 'unforced errors'. 

4. Profesionalisme

Sebagai atlet profesional, profesionalisme amat penting dalam mencatat sejarah dunia secara berpanjangan. Lihat bagaimana Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Nicol David membawa diri mereka di dalam dan luar gelanggang. 

Sama seperti Nadal, kita tidak pernah melihatnya memberontak dan memecah raket dalam gelanggang, jarang sekali mengalah dalam rali panjang juga mengamalkan kebiasaaan berlatih 3-4 jam sebelum perlawanan. 

5. Hati yang cekal

Di mana ada kemahuan, tiada apa yang mustahil. Semangat waja seorang pahlawan sentiasa ditunjukkan oleh Nadal. Bekas pemain bola sepak yang menunjukkan bakat dalam sukan tenis bermula 12 tahun dihormati oleh pencabar dan peminat dunia dengan semangat, kecekalan dan keberanian dalam gelanggang. Dari riak muka, pergerakan dan teriakan, Nadal akan terus disanjungi dan Raja Tanah Liat ini pasti terus memeriahkan lagi sukan tenis dunia. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen