Kenapa Malaysia tidak boleh terima atlet yang bersuka ria?  

Oleh Sharon Wee 29 June 2018 17402
Kenapa Malaysia tidak boleh terima atlet yang bersuka ria?  
Atlet bukan robot.
 
Mereka juga manusia biasa yang ingin meluangkan masa untuk pelajaran, kerjaya, bersosial dan sebagainya.

 
Namun perbezaan besar pada atlet elit, rutin kehidupan mereka cukup berbeza dan setiap gerak geri diperhatikan oleh masyarakat umum.
 
Baru-baru ini timbul kontroversi pasukan terjun negara bersuka ria semasa cuti perayaan di kem latihan di China. Mereka meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia.
 
Pelbagai reaksi daripada para peminat yang mengatakan mereka harus dibuang kerana memalukan negara tapi ada juga yang bersimpati walhal berpendapat mereka juga inginkan masa peribadi dan beriadah.
 
Sebagai bekas pemain skuasy elit kebangsaan mewakili negara selama 20 tahun, ingin saya kongsikan bermulanya hari pertama mengibarkan jalur gemilang, atlet perlu terima bahawa nama Malaysia didahulukan dan tanggung jawab amat besar di bahu.
 
Mengikut pakar psikologi sukan, antara faktor kejayaan atlet adalah membenarkan sedikit ruang untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa untuk bersuka ria mahupun makan makanan kegemaran.
 
Idealnya untuk mencari keseimbangan dan keutamaan mengikut situasi.
 
Ini yang boleh saya simpulkan kenapa atlet yang dilaporkan bersuka ria tidak dapat diterima oleh kebanyakan peminat.
 
  1. Pengetahuan tentang kehidupan atlet elit
Atlet bukan robot. Persepsi masyarakat umum tentang tanggung jawab atlet untuk menang dan sumbang pingat. Selain itu atlet perlu makan, tidur berlatih dan bertanding.
Itu kurang tepat kerana kehidupan seorang atlet sememangnya lebih daripada itu. Ada yang masih belajar, bekerja, berumah tangga dan pada masa yang sama perlu memikul tanggung jawab besar kerana sebagai atlet elit tiada pilihan lain tetapi sumbang emas.
Dato Nicol David juga makan nasi lemak. Jadi janganlah viralkan jika ternampak atlet elit makan roti canai di mamak dan tuduh atlet tidak jaga pemakanan. Atlet makan semua tetapi lebih makan makanan berkhasiat yang sesuai untuk seorang atlet.
 
  1. Idola
Atlet elit Malaysia berstatus selebriti antaranya Dato Nicol David, Dato Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong. Salah langkah sahaja mereka akan dikecam walaupun mereka berhak meluangkan masa untuk bersuka ria. Para atlet dilihat sebagai teladan kanak-kanak, para belia mahupun seluruh masyrakat dan boleh dikatakan mereka harus sentiasa sempurna.
  1. Malaysia negara majoriti Muslim
Agama dan budaya merupakan nadi dan kebanggaan Malaysia. Diduduki masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama, agama Islam merupakan agama rasmi Malaysia dan rakyat perlu lebih sensitif kepada perkara-perkara yang dilarang. Contohnya atlet bukan bumiputera ada hak untuk mengambil minuman keras namun pada masa yang sesuai. Manakala atlet beragama Islam dan atlet bawah 21 tahun dilarang sama sekali.
  1. Masa peribadi diceroboh
Sama ada anda seorang atlet elit atau individu biasa, masa peribadi harus dihormati. Seperti insiden pasukan terjun di China, saya kurang setuju video itu diviralkan. Mungkinkah terviral oleh individu yang ‘tak pakai otak’ atau sabotaj?
 
Apapun daripada pandangan bekas atlet elit seperti kapten hoki negara Dato Mirnawan Nawawi dan penerjun Bryan Nickson Lomas, masa untuk bersuka ria itu hak atlet dan diperlukan untuk mengurangkan tekanan dan menjalani kehidupan sedekat mungkin seperti individu biasa.
 
Namun ada batasannya, mengikut situasi, masa, tempat dan menjaga akhlak serta budaya Malaysia. Lebih-lebih lagi atlet elit dipandang tinggi dan ikon masyarakat.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen