Kenapa ia harus sentiasa mengenai Ronaldo?

Oleh Hafizal Hamad 30 May 2018 6343
Kenapa ia harus sentiasa mengenai Ronaldo?
Benar, angkuh sekali bunyinya apabila Cristiano Ronaldo mencadangkan supaya Liga Juara-Juara (UCL) dinamakan semula sebagai Liga Juara-Juara CR7.

Ronaldo telah mendominasi UCL dengan begitu banyak sehingga dia percaya sudah tiba masanya untuk saingan elit tertinggi Eropah itu dipertimbangkan untuk diubah namanya.

Ya, tidak silap sangkaan anda, sebagai pengiktirafan kepada tonggak Portugal dan Real Madrid itu selepas Los Blancos menundukkan Liverpool 3-1 dalam final di Kiev, Ukraine awal pagi Ahad lalu untuk kejuaraan keempat kelab itu dalam tempoh lima tahun.





“Saya telah memenanginya lima kali, muncul penjaring terbanyak sekali lagi. Saya tidak boleh tidak berasa gembira dengannya,” kata Ronaldo yang menjulang trofi itu buat kali pertama bersama Manchester United pada 2007-08.

Namun, penyerang berusia 33 tahun itu juga memilih detik paling tidak bertepatan untuk menimbulkan gempar mengenai masa depannya demi menuntut tumpuan utama buat dirinya dengan membayangkan dia mungkin meninggalkan Madrid.
Tanpa memberi banyak sumbangan dalam final pada awal pagi itu – rakan sepasukan Gareth Bale yang lebih memukau dengan dua golnya di samping sejarah yang dilakar Madrid dengan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut – Ronaldo seakan-akan enggan merelakannya.

Ronaldo tetap Ronaldo. Dia akan merampas tumpuan dengan caranya sendiri.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu tidak pun menjaringkan gol dalam final itu dan peluang terbaiknya dalam masa kecederaan diragut oleh seorang penonton yang merusuh masuk ke dalam padang ketika dia berkira-kira hendak membuat rembatan.

Ronaldo juga gagal membuat jaringan dalam kedua-dua peringkat perlawanan separuh akhir tapi dia masih muncul penjaring terbanyak UCL dan dikalungkan pingat kejuaraan buat kali kelima --  sesuatu yang cukup untuk diraikannya. Sebaliknya, dia memilih untuk merampas tumpuan untuk dirinya sendiri.





Ditanya mengenai masa depannya bersama skuad Zinedine Zidane itu, dia memberi jawapan mengejutkan: “Dalam masa beberapa hari berikut ini, saya akan memberi jawapan kepada semua penyokong yang sentiasa menyebelahi saya.”
Ia bukan tempat atau detik yang bertepatan untuk dia mengungkapkannya. Tapi Ronaldo tidak pun kisahkan semua itu.

Lagipun, ia bukan pun memeranjatkan kerana dia pernah melakukan yang sama pada masa lalu.

Di dalam bilik persalinan selepas final awal pagi Ahad lalu, rakan-rakan sepasukannya nyata tidak gembira dengan gelagatnya itu.

Dan sambil seluruh pasukan meraikan kejayaan merajai Eropah sekali lagi di Bernabeu dan persekitaran air pancut Cibeles di tengah-tengah kota raya Madrid, Ahad lalu, penyokong merentangkan pelbagai sepanduk mahukan Ronaldo kekal.

Apabila ia berkaitan dengan menagih tumpuan dan simpati, tiada siapa yang melakukannya lebih baik daripada Cristiano Ronaldo.

Barangkali juga, madridistas tidak pun harus bimbang kerana Ronaldo tidak dijangka akan ke mana-mana.

Lagipun, tiada kelab lain yang akan sanggup menabur €1 bilion (RM4.62 bilion) bagi menebus klausa perpindahan seorang penyerang yang sudah berusia 33 tahun.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen