Kembara Chee Keong penuh liku ​

Oleh Rizal Hashim 28 February 2018 1183
Kembara Chee Keong penuh liku ​
KEMBARA Chow Chee Keong (gambar, kanan) selaku antara pemain negara paling awal berkelana sebagai pemain bola sepak profesional dipenuhi ranjau liku.
 
Hong Kong bukan sekadar membuka pintu Chee Keong kepada dunia luar lebih luas dengan peluang berdepan dengan Pele dan Eusebio, tetapi juga mengajarnya erti hidup di luar keselesaan.
 
Chee Keong yang meninggal dunia pada usia 69 tahun pada 21 Februari lalu, meninggalkan balu Christine yang juga anak mendiang Datuk Kwok Kin Keng, setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1951-1979  serta seorang anak, Adrian.
 
Dalam temu bualnya dengan bekas pengarang sukan The Malay Mail, Tony Mariadass, pada 2014, Chee Keong mendedahkan dia bukan pemain pertama menjadi profesional di luar negara.
 
“Penghormatan itu jatuh kepada Wong Kong Leong,” katanya.
 
Sebagai pemain amatur, Kong Leong terpilih menyarung jersi Northside United di Sydney (kemudian bergabung menjadi Polonia-Northside) pada 1959, di bawah nama Johnny Wong sambil mengambil jurusan perakaunan di Sydney Technical College, seterusnya berhijrah ke APIA Leichhardt sehingga peraturan imigresen Australia menghalangnya daripada meneruskan kerjaya di sana.
 
Kong Leong turut menandatangani kontrak bersama Tung Sing di Hong Kong pada 1966.
 
Selepas menghabiskan persekolahan di St John’s Institution (SJI), Chee Keong dikirim ke England untuk melanjutkan pelajaran dalam A Levels.
 
Sambil mengikuti kursus pendidikan jasmani, Chee Keong mencuri peluang berlatih dengan West Ham di bawah Ron Greenwood selepas disyorkan oleh Datuk Peter Velappan, ketika itu penolong setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
Dalam temu ramah bersama Mariadass, Chee Keong mendedahkan peluang ke Hong Kong terbuka tanpa dirancang.
 
“Saya sedang bercuti dengan teman di Hong Kong sambil mengambil peluang melawat sifu saya dalam sukan tempur. Kebetulan di rumahnya, saya berjumpa doktor pasukan Jardine FC yang menawarkan saya tempat di situ bagi membantu pasukannya mengumpul tiga mata lagi untuk mengelak daripada jatuh ke divisyen 2.
 
“Saya bermain semusim untuk Jardine FC sebelum berhijrah ke South China dan akhirnya di Hong Kong Rangers,” katanya.
 
Dalam mengimbas pengalamannya ketika sampai di Hong Kong, Chee Keong berkata pemain dari negara itu tidak menyambut baik kedatangan orang luar.
 
“Saya terpaksa menggunakan kemahiran dalam sukan tempur untuk mengelak daripada dicederakan,” katanya.
 
Beberapa pemain yang menyusul, katanya, tidak pantas menyesuaikan diri mereka dengan suasana di sana.
 
Antara yang mengikut jejak langkah Chee Keong ke Hong Kong termasuk Lim Fung Kee, Wong Kam Fook, Khoo Luan Khen (gambar, kiri), Yee Seng Choy, Fong Seng Meng, Wong Choon Wah dan Yip Chee Keong manakala Dali Omar ke Australia.
 
Pada masa yang sama, Chee Keong menasihatkan agar pemain tempatan buru peluang menimba ilmu dan rezeki di luar negara.
 
Dengan reputasinya sebagai antara pemain bergaji lumayan di Hong Kong, Chee Keong turut membuat perjanjian dengan penerbit filem Min Tak Movies pada 1972, dengan nama pentasnya Christopher Chow.
 
Dalam belasungkawa tulisan sahabat penulis, Nazvi Careem, yang disiarkan South China Morning Post, Chee Keong pernah dibawa ke stadium menaiki helicopter.
 
Lawrence Yu Kam Kee, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Hong Kong, mengingati Chee Keong sebagai antara penjaga gol terbaik Asia yang menaikkan imej Hong Kong.
 
“Kehadiran penjaga gol terbaik Asia mencerminkan status bola sepak Hong Kong waktu itu,” katanya.
 
Selepas beberapa siri artikelnya yang mengkritik pengurusan bola sepak tempatan, Chee Keong mengabdikan dirinya kepada golf.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen