Kematian tragis Astori dan apologi segelintir

Oleh Hafizal Hamad 10 March 2018 2318
Kematian tragis Astori dan apologi segelintir
Ahad lalu, peminat bola sepak Itali digemparkan dengan berita Davide Astori ditemui mati di dalam kamar hotelnya.
 
Kapten Fiorentina berusia 31 tahun itu mendaftar masuk bersama pasukan pada hari sebelumnya menjelang perlawanan Serie A menentang Udinese.
 
Apabila dia tidak turun untuk bersarapan bersama pasukan pada jam 9.30 pagi, rakan-rakan sepasukan memecah masuk ke bilik Astori yang didapati sudah tidak bernyawa.
 
Bedah siasat yang dijalankan mendapati dia besar kemungkinan mengalami serangan jantung ketika di dalam tidur.
 
Sewaktu berita kematiannya tersebar, semua perlawanan Serie A pada Ahad lalu dibatalkan sebagai memberi penghormatan manakala pemain-pemain bertafakur seminit sebelum sepak mula perlawanan lain di seluruh Eropah.
 
Peminat segera membanjiri platform media sosial dengan merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah yang kemudian bertukar kepada sanjungan susulan satu tweet yang menyatakan Fiorentina akan menawarkan Astrori lanjutan kontrak bagi manfaat warisnya.
 


Astori meninggalkan seorang teman wanita, Francesca Fioretti, yang juga ibu kepada anak perempuan mereka yang berusia dua tahun, Vittoria.
 
Tweet berkenaan menjadi tular selain ulangan tweet yang melampaui angka ratusan ribu. Tidak cukup dengan itu, media tradisional turut terpengaruh dengannya dan turut menyebarkan ‘berita’ berkenaan.
 
Malah, Lega Calcio, badan penyelaras liga bola sepak Itali, menerusi wakilnya, Giovanni Malago, turut mengesahkan ‘berita’ yang menjadi tular itu.
 
Namun, dalam tempoh hanya 24 jam, sisi buruk media sosial terserlah jua.
 
Berita kononnya Astori akan ditawar kontrak oleh Fiorentina – sekalipun selepas kematiannya – disahkan palsu, termasuk menerusi kenyataan rasmi Lega Calcio yang memohon maaf selepas itu.
 
Koresponden beIN Sports, Tancredi Palmeri, turut menjejaki berita palsu itu berpunca daripada twitter Troll Football India.
 
Kebetulan, sebelum kematiannya, timbul cakap-cakap Astori sudah bersetuju kepada lanjutan kontrak dan kedua-dua pihak dijangka menandatanganinya dalam masa terdekat. Itu saja.


 
Cemas juga buat Fiorentina yang terheret kepada sesuatu yang tidak benar dan harus tidak selesa kerana terpaksa menafikan ‘kebaikan’ yang dialu-alukan di seluruh dunia. 

Bukan hanya Lega Calcio dan Fiorentina yang perlu memohon maaf. Tidak pasal-pasal, pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Dani Alves, terheret sama gara-gara komennya mengenai Astori yang dikecam ramai.
 
“Kami tidak terlalu kisah kerana kami tidak begitu mengenalinya. Kami bersimpati dengan keluarganya. Saya fikir Davide telah lakukan apa yang dia patut lakukan dalam dunia yang kacau-bilau ini dan kini dia berada di tempat yang lebih baik.
 
“Setiap hari beribu-ribu kanak-kanak yang tidak mendapat banyak perhatian, mati kelaparan dan mereka juga sama pentingnya. Lambat-laun kita semua juga akan mati. Barangkali kita semua berasa sedih tapi tidaklah seperti keluarganya.”
 
Lebih baik Alves hanya mengucapkan takziah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen