Kemasyhuran 'treble' mula melambai-lambai Valverde 

Oleh Shaiful Shamsudin 2 May 2019 1587
Kemasyhuran 'treble' mula melambai-lambai Valverde 
Kejayaan mencalarkan reputasi Liverpool awal pagi tadi membolehkan pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berkira-kira untuk memasuki bahagian istimewa dalam sejarah Barcelona. 

Di sebalik hadirnya Liverpool di Camp Nou mencetuskan kehangatan pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) itu, namun Lionel Messi mengundang mimpi ngeri buat barisan pertahanan The Reds dengan menyumbat dua gol manakala gol pembukaan perlawanan disumbangkan Luis Suarez. 

Diberi amanah untuk mengemudi skuad Blaugrana sejak 2017 bagi menggantikan Luis Enrique, Valverde meneruskan tradisi menawan kancah domestik.

Bagaimanapun, apa yang membezakan Ernesto dengan pengendali terbilang terdahulu, Pep Guardiola dan Enrique, adalah kemasyhuran meraih gelaran 'treble'. 

Di Eropah, hanya tujuh pasukan pernah melakukannya, iaitu Celtic (1967), Ajax (1972), PSV Eindhoven (1988), Manchester United (1998), Barcelona, Inter Milan (2010) dan Bayern Munich (2013). 

Baik Velverde, Guardiola mahupun Enrique, pelantikan mereka adalah berdasarkan falsafah Barca itu sendiri. 

Guardiola, dalam musim pengenalannya sebagai pengurus, mencetuskan sensasi dunia bola sepak apabila menguasai LaLiga dan Copa del Rey sebelum melengkapkan musim 2008 dengan kejuaraan Eropah. 

Ia satu pencapaian luar biasa sebagai seorang pengurus yang masih mentah selain hakikat kelabnya berdepan konflik dalaman yang menuntutnya melepaskan pemain utama. 

Kemudian, bekas jurulatih Barcelona B, Enrique, menggalas tanggungjawab itu.

Dalam tempoh tiga musim kendaliannya sejak 2014, dia membuat beberapa perubahan tentang pendekatan Barca biarpun asasnya tetap sama. 

Biarpun dikritik berikutan permainan Barca dianggap kurang mengancam, dia bagaimanapun berjaya mengulangi jejak Guardiola pada 2015. 

Berlainan pula dengan nasib Valverde, yang pernah bertindak selaku penyerang Barca pada penghujung era 80-an, apabila dua musim terawalnya menyaksikan Barca gagal melepasi peringkat suku akhir. 

Tetapi cerita berbeza dilakar anak buahnya awal pagi tadi. 

Kemenangan 3-0 dalam pertemuan pertama itu pasti menjadi azimat buat mereka ketika bertandang ke Anfield minggu depan. 

Namun, Valverde sedar ancaman yang boleh diberikan Liverpool, lebih-lebih lagi mendapat pengajaran berguna disingkirkan Roma musim lalu. 

Mereka menang 3-0 dalam pertemuan pertama tetapi dimalukan 1-4 dalam aksi timbal balik di Itali. 

Justeru, kemenangan awal pagi tadi meletakkan Barca dalam kawalan, apatah lagi dalam satu lagi aksi separuh akhir, Tottenham dan Ajax dilihat sebagai pasukan yang lebih mudah berbanding kelab gergasi yang lain. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen