Kelebihan jadi kelemahan P. Maniam

Oleh 15 March 2018 7939
Kelebihan jadi kelemahan P. Maniam
Siapa sangka karier kejurulatihan P. Maniam bersama Selangor akan berakhir dengan pengumuman Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) merehatkannya daripada mengendalikan gergasi merah kuning tetapi realitinya, itulah tindakan yang boleh dijangkakan jika pasukan yang pernah 6 kali menjulang kejuaraan Liga Super tampil pelik dengan tiga kekalahan berturut-turut dan boleh terjerumus ke zon penyingkiran jika perkembangan negatif ini berterusan.

Pelaburan Selangor untuk musim 2018 bukanlah yang terhebat tetapi masih memiliki barisan yang boleh diharapkan termasuk penyertaan pemain Sepanyol, Rufino Segovia, selepas penjaring terbanyak pasukan musim lalu, Francis Forkey Doe dilepaskan bersama Pahang. Sama situasinya dengan P. Maniam, mungkin belum pernah merekod sebarang kejuaraan bersama mana-mana pasukan tetapi kekuatan anak jati Selangor ini terletak pada keserasian dan kesetiaannya bersama Selangor. Lihat sahaja jodohnya bersama pasukan Air Asia FC yang hanya bertahan seketika sebelum jadi sirih pulang ke gagang.

P. Maniam juga memiliki kelebihan daripada segi pengalaman bersama 4 jurulatih yang membimbing Selangor sejak 2009, termasuk menjadi saksi kepada 5 kejuaraan yang diasaskan K. Devan sebelum meletak jawatan pada 2011. Situasi ini membuka peluang untuk P. Maniam menjaga pasukan walaupun buat seketika dan sekali lagi diberi kepercayaan sama ketika Irfan Bakti angkat kaki pada 2013. Pastinya tempoh singkat bersama jurulatih kelahiran Montenegro, Mehmet Durakovic memberi pengajaran berguna kerana masih mampu membawa Selangor melunaskan misi 33 Piala Malaysia yang tertangguh.

Malangnya, ia dilihat hanya mendorong kepada  kecelaruan taktikal yang direncana buat Selangor musim ini sehingga ada kalangan pemain menyuarakan rasa keliru dengan corak permainan yang cuba diterapkan dan apabila ia menjurus kepada keputusan buruk sehingga menjejaskan rekod gol bolos 10 jaringan dari 5 aksi Liga Super, petanda jelas formulanya tidak menjadi walaupun bahan yang digunakan masuk akal.

Apa yang pasti, selepas ini nama P. Maniam hampir pasti tidak akan kembali berada di dalam senarai kejurulatihan Selangor dengan penamat yang kurang cantik kali ini. Ironinya, pemergiannya memberi peluang kepada Muhammad Nazliazmi Mohd Nasir untuk bereksperimen bakat sebagai jurulatih, sementara menanti FAS menemui pengganti baharu atau mungkinkah jurulatih yang pernah bersama pasukan bawah 21 tahun Selangor ini hanya perlukan satu peluang sahaja untuk menambat hati pihak pengurusan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen