Kelab atau pasukan kebangsaan?

Oleh Shaiful Shamsudin 13 February 2019 491
Kelab atau pasukan kebangsaan?
Agenda nasional atau kelab?

Persoalan itu kembali berlegar dalam Liga Malaysia (Liga-M) menjelang Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-22 di Kemboja dari  17 hingga 26 Februari ini.

Kejohanan AFF B-22 2019 memiliki keunikan tersendiri memandangkan ini kali kedua ia diadakan selepas edisi pertama menyaksikan Thailand muncul juara pada 2006.

Agenda negara seharusnya menjadi keutamaan tetapi apabila memasuki era profesional, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga sudah menetapkan garis panduan.

Antaranya memperkenalkan kalendar FIFA dalam memastikan sistem lebih teratur bagi mengimbangi tuntutan liga domestik dan negara.

Kedua-duanya saling berkait rapat dalam menggilap dan melahirkan pemain berpotensi yang mampu memenuhi selera peminat bola sepak. 

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berdepan dilema apabila beberapa persatuan negeri mahupun kelab bertindak menutup pintu pemain daripada menyertai kem latihan pusat. 

Situasi itu menyebabkan Kim Swee tersepit kerana pemain idamannya gagal mendapat pelepasan.

Apapun, dalam memastikan aspirasi menjuarai kejohanan menjadi kenyataan, kekangan jadual Liga-M membantutkan hasrat Kim Swee itu. 

Sepanjang tempoh itu, dua aksi Liga Super diaturkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). 

Kedua-duanya sama penting tetapi bagi kelab, sudah tentulah mereka ingin melindungi kepentingan mereka selepas membuat pelaburan yang besar. 

Ia harus dilihat dalam konteks yang lebih adil, sama-sama beroleh keuntungan. 

Barangkali melihat kepada apa yang dilalui Kedah ketika membenarkan tiga pemain utama mereka -- Akhyar Rashid, Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar -- beraksi dalam Sukan Asia 2018 yang sedikit-sebanyak menjadi punca mereka terperosok di tangga tercorot Kumpulan C, Piala Malaysia hanya setahun selepas mereka muncul finalis, situasi berkenaan akan membuatkan mana-mana pasukan pun berfikir dua kali untuk mengambil risiko itu. 

Pasukan lain mungkin tiada masalah untuk melepaskan bintang mereka tetapi Lang Merah seperti yang kita ketahui, amat bergantung kepada kelibat seperti Rizal dan Baddrol selain tidak mempunyai banyak pilihan lebih baik di bangku simpanan. 

Pemain Tottenham, Son Heung-min, misalnya, sebelum melanjutkan kontrak baru, ada beberapa terma yang perlu dicapai di antara kedua-dua pihak. 

Spurs membenarkannya beraksi dalam Sukan Asia 2018 tetapi Korea Selatan akan merehatkannya dalam jadual antarabangsa yang berikutnya. 

Begitu juga dalam kempen Piala Asia bulan lalu, dia terlepas beberapa perlawanan awal dan Spurs menyediakan kemudahan terbaik untuknya pulih sebelum menyambung perjuangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Semuanya terpulang kepada budi bicara kerana kelab perlu menjadi aset mereka untuk jangka masa panjang manakala pembangunan skuad kebangsaan juga harus dititikberatkan. 

Dengan senario penutupan banyak kelab akibat masalah kewangan, ia menjadikan pilihan pemain muda dalam Liga-M semakin terbatas. 

Mungkin sudah sampainya pemain yang mencapai penampilan tertentu dalam skuad senior kebangsaan juga tidak perlu dikerah untuk menggalas tanggungjawab sampai tiga kategori dalam pasukan kebangsaan. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen