Kekal tempat ketiga ACT

Oleh Mirnawan Nawawi 30 October 2018 114
Kekal tempat ketiga ACT
Kejayaan memenangi tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 merupakan satu pencapaian memberangsangkan buat skuad hoki lelaki negara.

Ia berdasarkan situasi para pemain terpaksa mengharungi fasa sesi latihan keras termasuk melakukan latihan bebanan berat sebelum berlepas ke Muscat, Oman, baru-baru ini untuk menghadapi kejohanan memasuki edisi kelima itu.

Para pemain terpaksa mengikut jadual latihan ditetapkan sebaik sahaja tamat daripada tugasan Sukan Asia 2018 di Jakarta pada bulan lalu selain situasi kehadiran ketua jurulatih baru, Roelant Oltmans, mengambil alih.

Jelas kelihatan sentuhan pemain tidak tajam selain faktor keletihan terutama dalam dua perlawanan terakhir ACT 2018, bermula peringkat separuh akhir serta penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Jepun, kelmarin.

Selain daripada aspek-aspek itu, prestasi Malaysian Tigers turut terkesan disebabkan ketiadaan dua watak penting iaitu pakar flick, Muhammad Razie Abd. Rahim, dan perancang bahagian tengah, Mohd Fitri Saari, dalam saingan ACT 2018.

Biarpun terpaksa berdepan situasi sebegitu, pujian harus diberikan juga kepada skuad negara kerana masih berjaya mempertahankan tempat ketiga buat kali kelima berturut-turut sejak edisi pertama di Ordos, China, pada 2011.

Penjaga gol kedua, Mohammad Hairi Abd. Rahman, tampil beraksi cemerlang sepanjang kejohanan ini untuk menggantikan pilihan utama, S. Kumar, yang masih mengalami kecederaan.

Faizal Saari ternyata tidak menghampakan apabila mempamerkan penyudah tajam dengan muncul penjaring terbanyak kejohanan menerusi lapan gol, dua jaringan mengatasi pakar flick dari India, Harmanpreet Singh.

Saya juga tertarik melihat kecemerlangan prestasi dua pemain muda, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Norsyafiq Sumantri, yang menunjukkan peningkatan daripada segi kematangan permainan mereka dalam kejohanan ini.

Justeru, Roelant dan penolong jurulatih merangkap pengurus pasukan, Stephen Van Huizen, serta barisan kejurulatihan negara sudah boleh merencanakan perancangan membentuk skuad terbaik untuk menghadapi ujian sebenar, Piala Dunia 2018.

Saingan Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, akan bermula dari 28 November hingga 16 Disember ini merupakan pertandingan penting buat skuad negara yang perlu mencatatkan keputusan cemerlang agar memudahkan laluan mereka di peringkat kelayakan Sukan Olimpik 2020 tahun depan.

Tempoh sebulan ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin dalam memperbaiki beberapa kelemahan dan memastikan para pemain dapat menampilkan persembahan bertenaga yang paling baik di Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen