Kedah mula bangkit

Oleh Hasnizam Uzir 30 April 2018 2844
Kedah mula bangkit
Dengan pungutan empat mata melalui satu kemenangan dan satu seri sudah cukup menggambarkan bahawa pemain-pemain Kedah begitu serasi dan memahami dengan apa yang ada pada ketua jurulatih mereka yang baru, Mohd Nidzam Adha Yusof. 

Itu juga menunjukan bahawa Nidzam Adha bijak dalam mengurus dan mengawal keharmonian dalam pasukan. Sudah pastilah ia menggembirakan peminat-peminat pasukan Kedah kerana ketika ini Kedah berada pada kedudukan keenam dalam carta Liga Super.

Ini yang diinginkan oleh peminat-peminat Kedah untuk melihat pasukan kesayangan mereka telah kembali berada di landasan yang betul setelah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah mengambil satu pendekatan yang berani apabila melantik Nidzam Adha sebagai ketua jurulatih setelah mengubah peranan pengendali sebelumnya, Ramon Marcote, atas prestasi pasukan Kedah yang tidak konsisten.

Apa yang boleh dilihat dan dipelajari di sini tentang bagaimana untuk menguruskan hati dan perasaan manusia kerana ia akan mendorong tindakan dan pemikiran seseorang untuk melonjakan minda mereka dalam memberikan nilai-nilai kerja yang efektif dan berkualiti. 

Nilai mengurus psikologi dalam pengawalan emosi manusia memang begitu sukar, apatah lagi dalam sukan bola sepak kerana keperluaan menjaga, memahami serta menyelami perasaan pemain-pemain terutama jurulatih dalam memastikan kesemua pemain di bawah kendaliannya akan sentiasa gembira dalam permainan, baik dalam latihan dan perlawanan.

Ini yang berjaya dilakukan Nidzam Adha apabila beliau berjaya mengurus emosi dan perasaan pemain dengan baik sehingga pemain-pemain ingin bermain untuknya. 

Apa yang penulis harapkan kepada pemain-pemain Kedah, mereka perlu terus menunjukan kebangkitan untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan Liga Super terutama kepada pasukan Johor Darul Tak'zim dan Pahang.

Sementara itu, kepada pengurusan dan peminat-peminat Kedah teruslah memberi kepercayaan dan sokongan kepada Nidzam Adha untuk terus memacu kejayaan kepada pasukan. 

Jadikanlah apa yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran dan semangat untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen