Kecederaan jadi pemusnah

Oleh Nur Amira Ibrahim 29 June 2017 139
Kecederaan jadi pemusnah
Pada saat barisan atlit negara bertungkus-lumus persiapkan diri, kita tidak terkecuali menerima berita kurang gembira mengenai beberapa atlet yang berdepan kecederaan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sebenarnya, hal inilah yang sering kali beri kebimbangan kepada negara tatkala kita sedang persiapkan diri untuk menghadapi Sukan SEA, 19 hingga 30 Ogos nanti.

Apa tidaknya, mereka telah berlatih daripada awal untuk benar-benar bersedia tetapi misi itu nampaknya dinafikan apabila berdepan kecederaan secara tiba-tiba tanpa diduga.

Yang terbaru adalah atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, yang tidak menjangka rutin latihannya di China tempoh hari membawa padah apabila ditimpa kecederaan lutut yang agak serius ketika melakukan angkatan sehingga 190kg.

Siapa sangka, prospek negara itu diduga sehebat ini saat dia terlalu menginginkan pingat emas dalam penampilan sulung di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur selepas dua tahun lalu di Singapura, angkat berat tidak dipertandingkan.

Meskipun masih tiada keputusan rasmi adakah Hafifi masih mampu untuk galas cabaran negara, namun pasti saat yang sukar ketika ini untuk ditempuhnya kurang apabila kurang dua bulan sahaja lagi temasya bakal bermula.

Hafifi menjangkakan tempoh satu bulan untuknya melihat terlebih dahulu perkembangan proses pemulihannya.

Selain isu kecederaan, kita turut menerima berita atlet yang mengalami kemalangan jalan raya baru-baru ini. 

Sebelum ini, penulis pernah paparkan mengenai kapten futsal wanita, Nur Izzati Khairuddin, yang ditimpa kemalangan Februari lalu sekali gus terpaksa melupakan hasrat beraksi di Sukan SEA.

Yang terbaru adalah pemain sepak takraw lelaki, Muhammad Fadzil Mustapa, yang menaiki motorsikal terbabas beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri dan mengalami luka di seluruh anggota badan. 

Sudah pasti kita tidak mahu lagi berita seperti ini dipaparkan apatah lagi Sukan SEA yang kian tiba. Harapan atlet sendiri boleh musnah sekelip mata jika mereka tidak berwaspada dalam apa jua keadaan. 

Benar, malang tidak berbau tetapi semoga atlet yang lain mampu ambil pengajaran untuk sentiasa berhati-hati selepas ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen