Kasi 'sign' cepat!

Oleh Dayang Zainatull 25 February 2019 10539
Kasi 'sign' cepat!
Sebelas tahun menabur bakti bersama pasukan Manchester United selaku pemain dibawah kendalian Sir Alex Ferguson, satu tempoh yang sudah cukup lama buat Ole Gunnar Solskjaer (OGS) untuk disayangi oleh semua penyokong The Red Devils. 

Paling diingati sudah tentu bagaimana jaringan OGS membantu United meraih gelaran Liga Juara Juara Eropah pada 1999.

Jika dizaman OGS selaku pemain, beliau sering dibawa masuk pada penghujung perlawanan dan memberikan kegembiraan kepada pasukan, ironinya skrip hampir sama berlaku apabila pemilihan OGS selaku pengendali sementara adalah pada saat kegagalan beberapa nama besar seperti David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho meletakkan United di tempat yang sepatutnya, dan OGS sekali lagi dibawa masuk dan membawa sinar kegembiraan di kem United.

OGS berjaya menjadi antara pengurus paling berjaya setakat ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah sejak mengambil alih pasukan pada Disember dan terbaru, OGS dan Marcus Rashford dianugerah pengurus dan pemain terbaik untuk bulan Januari. 

Satu anugerah yang tidak pernah diterima Jose Mourinho sejak mengendalikan United dan ini juga pertama kali pengurus dan pemain United menerima anugerah pada bulan yang sama sejak 2012.

Selain dari itu, antara hal lain yang menarik perhatian Dayang adalah bagaimana OGS mampu menjadikan Paul Pogba, Marcus Rashford dan Anthony Martial beraksi di tahap prestasi terbaik mereka. 

Lihat saja Paul Pogba, dalam setiap perlawanan pasti ada gol dan juga bantuan gol. Paul kini benar-benar berada di puncak prestasinya dan karektor beliau di atas padang amat membantu persembahan United. 

Rashford pula mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lukaku dengan mempamerkan penyudah tajam, Dayang pasti pemain muda ini akan mendapat tawaran dari banyak pasukan gergasi apabila musim 2018/19 melabuhkan tirainya. 

Anthony pula? Lihat saja jaringannya ketika berdepan Fulham, Dayang berani beri jamin dia akan tersenarai dalam nama pemain yang akan dipanggil Didier Deschamps untuk mewakili Perancis.

Jadi tunggu apa lagi Ed Woodward dan Avram Glazer? Takkan nak tunggu OGS kena cekup dengan pasukan lain baru terhegeh-hegeh nak tandatangan kontrak? 

Dayang percaya, andai United melepaskan OGS dan melantik pengurus baru, OGS yang sepatutnya pulang ke Molde FC selepas tugasan di United pasti akan mendapat tawaran lumayan dari kelab-kelab lain yang hanya menunggu peluang untuk mendapat khidmat pengendali yang berasal dari Norway itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen