Kan dah kata? Manchester adalah Merah!

Oleh Dayang Zainatull 8 April 2018 2984
Kan dah kata? Manchester adalah Merah!
Pertembungan setempat di antara Manchester City dan Manchester United yang berlangsung di Stadium Etihad, semalam, menyaksikan tuan rumah, The Citizens, masih perlu menunggu sehingga perlawanan seterusnya untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. 

Ini kerana anak-anak buah Pep Guardiola gagal memanfaatkan kelebihan dua gol dalam separuh masa pertama apabila bolos tiga kali dalam separuh masa kedua. 

Biarpun City bermula garang dengan melakukan serangan bertali arus dalam separuh masa pertama sehingga David De Gea tidak senang duduk, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila memasuki separuh masa kedua. 

Apa yang lebih menarik tentunya perang taktikal antara Pep Guardiola dan Jose Mourinho. City bermula tanpa pemain penyerang dengan jentera serangan dibarisi Leroy Sane, Benardo Silva dan Raheem Sterling. United pula lebih banyak mengejar bola dan terpaksa berhempas pulas menahan asakan tuan rumah. 

Memasuki babak kedua, Paul Pogba ditugaskan untuk beraksi sedikit tinggi untuk memberikan tekanan kepada pertahanan City dan bahagian tengah digerakkan gabungan kerjasama antara Matic dan Herrera dilihat begitu ampuh. 

Perubahan itu amat menjadi buat United dengan Pogba meledakkan dua gol, dan Chris Smalling berjaya menebus kesilapannya yang gagal mengawal Vincent Kompany dalam separuh masa pertama dengan gol kemenangan United.

Dayang juga mahu memuji aksi cemerlang Alexis Sanchez yang melakukan dua bantuan gol dengan hantaran tepat kepada rakan. Kemasukan Kevin De Bruyne, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero juga gagal menghasilkan jaringan yang dicari City.

Kemenangan semalam mengingatkan Dayang kepada United sewaktu di zaman Sir Alex Ferguson yang begitu terkenal dengan semangat melawan apabila ketinggalan. Sir Alex Ferguson turut hadir dalam perlawanan di Etihad bagi menyaksikan perlawanan tersebut. 

Biarpun ada cakap-cakap belakang yang mengatakan keputusan pengadil banyak memihak kepada United, namun jika anda menyaksikan perlawanan ini secara langsung, ulang tayang perlahan di kaca televisyen semalam membuktikan pengadil ada juga melakukan tindakan yang tepat.

Biarpun kejuaraan Liga Perdana Inggeris seakan-akan sudah menjadi milik City, namun sekurang-kurangnya kejayaan menumpaskan mereka 2-3 di laman lawan mampu menjadi tonik terbaik buat United untuk perlawanan akan datang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen