Kali pertama Divisyen Perdana, Malaysia tenang harungi cabaran

Oleh Intan Nor Saina 2 May 2018 1021
Kali pertama Divisyen Perdana, Malaysia tenang harungi cabaran
Tahun ini merupakan kali pertama Malaysia layak ke Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia. Pada minggu lalu, Malaysia telah beraksi dalam perlawanan pertama menentang Korea Selatan yang bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Biarpun Malaysia tewas kepada pasukan Korea Selatan dengan keputusan 10-35, Fahmy Jalil selaku pengarah dan exco Kesatuan Ragbi Malaysia berpendapat itu merupakan keputusan yang baik apabila Malaysia berjaya kekal dengan jurang mata yang tidak terlalu ketika menentang pasukan di ranking 31 dunia itu.

Untuk jangka masa panjang dengan program berkala dan lebih sistematik, di samping memperbanyakkan perlawanan persahabatan berkelas tinggi, Fahmy yakin ragbi Malaysia mampu menyinar di pentas dunia.

Bagi meneruskan saingan dalam Kejohanan Ragbi Asia, Malaysia akan turun menentang pasukan di ranking 22 dunia, iaitu Hong Kong juga di Bukit Jalil pada Sabtu ini. 

Fahmy berpendapat, kedudukan ranking tidak banyak memberi gangguan kepada pasukan Malaysia, namun mereka perlu lebih fokus dalam pertembungan itu dan mengurangkan kesilapan kecil seperti ‘handling error’ yang boleh memberi mata mudah kepada pasukan lawan. Dan Malaysia juga perlu lebih tegas dalam membuat keputusan di atas padang.

Setelah dua aksi berakhir di Bukit Jalil nanti, mereka akan meneruskan lagi saingan dalam aksi timbal balik menentang Korea Selatan di Stadium Namdong Asiad, Korea Selatan pada 19 Mei, seterusnya pertembungan aksi timbal balik dengan pasukan Hong Kong di Kelab Bolasepak Hong Kong pada 26 Mei nanti.

Selain itu, kalendar ragbi cukup padat bagi tahun ini dengan menyusulnya Liga Ragbi Malaysia 2018, Sukan Asia 2018 dan Piala Agong.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen