Kalau tak menang jugak…

Oleh 30 March 2018 23086
Kalau tak menang jugak…
Itulah bayangan ngeri yang sedang berlegar di kepala ini menanti perlawanan ketiga pasukan senior nNegara pada tahun 2018 ini.

Selepas diikat 2-2 oleh Mongolia di Bukit Jalil, kemudian tewas melawan 1-2 ketika berdepan Lubnan di Beirut, kini tugasan yang dilabel ‘pelik’ oleh sebilangan besar peminat adalah berdepan pasukan kebangsaan Bhutan. Ia bermakna rentetan kegagalan untuk menang di pentas antarabangsa berterusan untuk skuad bola sepak nNegara.

Betul, Malaysia dijadualkan berdepan pasukan-pasukan bawahan dalam ranking Asia dan dunia dek kerana kesukaran mendapatkan lawan yang sesuai ekoran daripada kedudukan pasukan negara sendiri yang menghuni tangga ke-178 dunia.

Terdengar dah suara-suara sumbang menjelang perlawanan kelas A ini kerana Bhutan -- yang terkepung di tengah-tengah banjaran Himalaya terletak di Utara India dan Bangladesh, di selatan Republik Rakyat China dan di timur Nepal -- bukanlah negara bola sepak sejati.

Selepas pecah kepala mencari latar belakang skuad Mongolia, kini Tan Cheng Hoe memberikan saya satu lagi 'assignment' sukar, iaitu cuba mengenali pasukan Bhutan.

Sebuah negara yang mempunyai anggaran penduduk seramai 700,000 orang itu memiliki pasukan bola sepak yang menyertai perlawanan-perlawanan antarabangsa dikendalikan oleh Persekutuan Bola Sepak Bhutan yang mengikut riwayatnya ditubuhkan pada 1970 tetapi penubuhan rasminya adalah pada 1983 dan menyertai FIFA pada 2000.

Pada 30 Jun, 2002, Bhutan, pasukan ranking kedua terendah dunia, mencatat kemenangan pertama mereka di peringkat antarabangsa dengan menewaskan pasukan ranking terendah dunia, Montserrat, 4-0. Perlawanan itu diibaratkan sebagai ‘the other final’ kerana dilangsungkan serentak dengan final Piala Dunia 2014 di antara Jerman dan Argentina.

Tercatat aksi pertama di peringkat antarabangsa ialah pada 1 April 1982 yang menyaksikan mereka tewas 1-3 kepada Nepal. Keputusan terbaik ialah dengan mengalahkan Guam 6-0 pada 2003 sementara merekodkan kekalahan terburuk dengan dibelasah 20-0 oleh Kuwait pada 2000.

Dalam Kkejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan 2008, Bhutan mara ke separuh akhir tetapi tewas kepada India 2-1 pada masa kecederaan dan itu dianggap keputusan terbaik bagi mereka setakat ini.

Biarpun dilabel pasukan belasahan, skuad kebangsaan Bhutan tetap mendapat bantuan jurulatih-jurulatih luar seperti dari Korea Selatan, Jepun, Belanda dan juga dari Jerman, iaitu Torsten Spittler, bekas pengendali Perak pada tahun 2000.

Terima kasih serta kredit harus saya berikan kepada laman SemuanyaBola yang melaporkan terdapat seorang pemain Bhutan yang memiliki skil yang tinggi, iaitu Chencho Gyeltshen atau Si Budak Naga.

Berusia 21 tahun dan satu-satunya pemain ‘pro’ Bhutan, beraksi dengan kelab Minerva dalam saingan Liga India, dia sering menjadikan pemenang Balon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo, sebagai idolanya.

Sebelum ke India, Chencho Ronaldo, nama samarannya, pernah beraksi dengan Surin City FC dalam Liga Thailand serta memiliki 32 'caps' dan menjaringkan 11 gol setakat ini.

Ini bermakna Bhutan memiliki senjata sulit yang boleh menggugat pasukan negara dan apakah pemain-pemain negara telah membuat kajian tentang Gyeltshen serta ‘Druk Eleven’ secara keseluruhannya?

Pertemuan pertama di dalam sejarah bola sepak kedua-dua negara ini kebiasaannya sukar diramal kerana tiada pengalaman mengenai pihak lawan.

Pada saya, seri 2-2 dengan Mongolia adalah keputusan yang mengecewakan tetapi saya tetap memuji aksi mereka ketika tewas tipis 1-2 kepada Lubnan.

Jadi, pasukan dan pemain berperwatakan yang macam mana akan tampil di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini menyarung jersi Malaysia?

Lupakan ‘Geng 14’ yang sudah tiada dalam perancangan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, ketika ini dan pengendali muda ini dijangka membuat sedikit rombakan daripada kesebelasan pemain yang diturunkan di Beirut tempoh hari.

Sesiapapun yang bakal diturunkan, misinya adalah mudah, iaitu mencari kemenangan antarabangsa pertama untuk Harimau Malaya sejak November 2016. Kemenangan pertama pasca DYAM TMJ, bekas presiden FAM, yang mengakui kegagalan beliau menaikkan ranking Malaysia juga perlu diraih.

Saya amat bersetuju dengan pandangan jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti Abu Salim, yang mahukan pasukan kebangsaan berdepan pasukan-pasukan yang lebih tinggi rankingnya kerana di situlah peluang yang lebih cerah untuk meningkatkan mutu skuad negara. 

Selamat maju jaya Cheng Hoe dan Harimau Malaya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen