Kalau dah rezeki tak akan ke mana 

Oleh Nafis Abdullah 25 June 2019 3690
Kalau dah rezeki tak akan ke mana 
Setiap pemain bola sepak semestinya mengidamkan untuk beraksi bersama skuad utama sebaik sahaja menyertai mana-mana akademi kelab ketika kecil.

Nama seperti Steven Gerrard (Liverpool), Raul Gonzalez (Real Madrid) serta Johan Cruyff (Ajax) merupakan antara contoh legenda yang menabur bakti dan berjaya bersama kelab masing-masing sejak di peringkat awal.

Namun, ada juga kelompok yang gagal menyinar sewaktu di akademi tetapi akhirnya muncul sebagai salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini seperti Pierre-Emerick Aubameyang, Kevin De Bruyne dan Robert Lewandowski.



Sememangnya masih jauh untuk membandingkan kisah setiap nama di atas dengan pemain sayap Belanda, Quincy Promes, tetapi dia kini berpeluang untuk menebus kehampaan di Ajax 11 tahun lalu setelah bersetuju untuk meninggalkan Sevilla dan kembali ke Amsterdam.

Menerusi perpindahan bernilai GBP14 juta (RM74 juta), pemain berusia 27 tahun yang telah melakukan 38 penampilan bersama skuad The Oranje itu dilihat bakal mengisi revolusi baru Ajax tatkala mereka berkemungkinan besar kehilangan beberapa tonggak utama susulan kejayaan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2018-19.



Tatkala Frenkie De Jong telah menyatakan persetujuan untuk ke Barcelona Januari lalu, nama seperti David Neres, Donny van de Beek dan Hakim Ziyech semakin menjadi buruan beberapa kelab besar Eropah, termasuk pertahanan serta kapten pasukan, Matthijs De Ligt, sekali gus membuatkan pengendali, Erik Ten Hag, perlu bersedia dengan langkah membina semula pasukan.

Kehadiran semula Promes ke Ajax mungkin tidak menarik banyak perhatian tetapi berdasarkan persembahan yang dipamerkan bersama skuad Belanda dalam saingan Piala Negara-Negara UEFA baru-baru ini, kelibat pemain yang dilepaskan Ajax ketika berusia 16 tahun itu dilihat mampu menambah kelajuan dalam setiap serangan pasukan.

Walaupun dia gagal mencipta sensasi di pentas LaLiga musim lalu apabila sekadar mengutip dua gol daripada 33 penampilan liga, namun kemampuan menunjukkan prestasi cemerlang ketika berkelana ke Russia sebelum itu bersama Spartak Moscow mampu dijadikan sandaran oleh Promes untuk menyinar dalam saingan Eredivisie.



Sewaktu di Moscow, Promes menikmati kejuaraan Liga Perdana Russia dan Piala Super Russia ketika saingan 2016-17, di mana ia menjadi musim pertama yang terbaik dilalui pemain berketinggian 1.74 meter itu apabila dinobatkan selaku Pemain Terbaik Tahunan di Russia sebelum kecemerlangan itu diteruskan dengan gelaran penjaring terbanyak liga menerusi 15 gol semusim kemudian.

Justeru, kehadiran semulanya ke Amsterdam pastinya memberikan kegembiraan serta kepuasan buat Promes setelah tindakan Ajax melepaskannya pada 2008 membuatkannya hampir putus asa dalam bola sepak.



"Ia hari paling teruk dalam karier. Dunia saya musnah dalam masa sehari."

Itu ungkapan Promes sewaktu terpaksa melupakan hasrat untuk berbakti buat Ajax suatu ketika dahulu tetapi kini, dia berpeluang untuk menebusnya dan membuktikan bahawa dia layak menyarung jersi utama De Godenzonen.

Kalau dah rezeki tak akan ke mana.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen