KAFA larang pemain bawa telefon bimbit -- wajar atau tidak?

Oleh Adam Zamri 29 March 2018 6888
KAFA larang pemain bawa telefon bimbit -- wajar atau tidak?
Antara drama terbaru yang dihidangkan dalam senario bola sepak tempatan minggu ini ialah apabila jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim dari Syria, menguatkuasakan peraturan baru dalam rejimnya.

Peraturan yang mencuri tumpuan umum adalah larangan terhadap pemain membawa telefon bimbit ke padang, stadium, bilik persalinan mahupun di dalam bas ke tempat latihan.

Sekali imbas, peraturan sebegini tampak tidak masuk akal untuk dilaksanakan pada zaman globalisasi berikutan hidup manusia banyak bergantung kepada telefon bimbit, namun ia bukanlah perkara baru dalam arena sukan sebenarnya.

Larangan membawa telefon bimbit sudah lama dipraktikkan di pentas antarabangsa, antaranya Paolo Di Canio ketika membimbing pasukan Sunderland pada tahun 2013. Dia sendiri pernah mengugut akan membuang telefon bimbit pemainnya ke laut jika didapati melanggar peraturan tersebut.

Fajr bukan calang-calang jurulatih, ini kerana dia punyai rekod karier yang baik sebagai jurulatih dan pengurus. Bekas pemain pertahanan kiri Syria ini pernah membantu kelab Al Shota memenangi Liga Perdana Syria pada musim 2011/2012 di samping pernah mengendalikan skuad kebangsaan Syria.

Kaedah ekstrem yang ingin diterapkan Fajr kepada The Red Warriors mungkin tidak mendapat sambutan pemain, namun daripada sudut psikologinya, beliau mahu menerapkan budaya disiplin yang tinggi di samping memberi fokus 100 peratus ketika bersama pasukan.

Daripada satu aspek, mungkin para pemain berasakan bebanan kerana susah untuk mereka berhubung membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas jika terdapat kecemasan andai telefon bimbit tidak berada bersama.

Mungkin pihak pengurusan KAFA, dan juga pemain masih boleh menggunakan budi bicara dan berbincang untuk mendapatkan jalan tengah dalam menyelesaikan kemelut kecil ini, sekali gus menaikkan kembali prestasi mereka yang masih terumbang-ambing dalam liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen