KAFA boleh lah nilai kedudukan Lopes

Oleh Thani Hasbullah 10 March 2018 23051
KAFA boleh lah nilai kedudukan Lopes
Menyaksikan perlawanan di antara Kelantan dan PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam, pemerhatian penulis terarah kepada persembahan yang ditampilkan pemain kelahiran Brazil yang membarisi skuad Pantai Timur itu, Bruno da Silva Lopes.

Terarah bukan kerana prestasi cemerlangnya tetapi banyak kesilapan mudah dilakukan pemain berusia 31 tahun itu dalam kekalahan 1-0 Kelantan kepada PKNS, dan dianggap sebagai "penumpang" dalam sebahagian besar pemain yang berusaha gigih.

Ketika seorang lagi tonggak Kelantan dari Korea Selatan, Do Dong Hyun,bekerja keras dengan kemahiran sebenar sebagai seorang pemain import, Lopes sebaliknya senang-senang beberapa kali kehilangan bola di kawasan tengah.

Seingat penulis, hanya dalam setengah jam pertama, dua kali bola dalam kawalannya dirampas pemain lawan dan sekali membuat hantaran pendek yang tidak tepat sekalipun tidak dicabar pemain lain. Malah, hampir begitulah corak permainannya dalam minit-minit selebihnya.

Sungguh mengecewakan bagi seseorang pemain bola sepak dari Brazil yang tidak mempunyai kemahiran yang baik dalam mengawal bola, apatah lagi tidak mampu menggelecek ketika berdepan pemain lawan.

Bukan penulis sahaja yang dapat mengesan kesilapan terlepas bola di kaki, tetapi jurulatihnya, Yusri Che Lah, turut menyuarakan padangan hampir sama sungguhpun beliau tidak menyebut sebarang nama pemain.

"Pemain-pemain saya di bahagian serangan terlalu cepat kehilangan bola yang menyebabkan kami sentiasa tertekan dalam separuh masa pertama. 

"Ia berlainan dalam separuh masa kedua di mana pemain saya mampu menyimpan bola yang membolehkan barisan pertahanan memberi bantuan untuk naik ke atas," kata Yusri dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Apa yang lebih mendukacitakan, Lopes kurang memenangi bola, berusaha mendapatkan bola atau lebih tepat, malas untuk mengejar bola dan mencabar pemain lawan walaupun hampir dengannya.

Sehubungan itu,Yusri dan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bolehlah menilai semula kedudukan Lopes dalam skuad Kelantan yang semakin terdesak memerlukan kemenangan dalam liga.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen