Jurang kian kecil

Oleh Mirnawan Nawawi 21 May 2018 1647
Jurang kian kecil
Sasaran pingat gangsa Sukan Asia 2018 kini bukan mustahil lagi dan ia dilihat mampu direalisasikan oleh skuad hoki wanita negara di Jakarta, Indonesia pada Ogos nanti.

Ia dianggap realistik berdasarkan kejayaan Malaysian Tigress akhirnya berjaya memecah masuk kelompok empat terbaik Asia pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Bandar Donghae, Korea Selatan.

Kali terakhir skuad wanita memegang status sebagai empat pasukan terbaik Asia ialah lima tahun lalu ketika meraih tempat ketiga ACT 2013 di Kakamigahara, Jepun.

Malaysian Tigress adalah pasukan ranking paling rendah di ACT 2018 iaitu No. 22 dunia, berbanding China (No. 8 dunia), Korea Selatan (No. 9 dunia), juara bertahan India (No. 10 dunia) dan Jepun (No. 12 dunia).

Kedudukan ranking tidak membawa sebarang makna kerana skuad wanita membuktikan kehebatan dengan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan.

Walaupun tewas empat perlawanan, 1-3 China dan 0 - 2 (klasifikasi 3/4), 1-3 Korea Selatan dan 2-3 India, tetapi menang 3-1 ke atas Jepun membolehkan Malaysian Tigress memecahkan monopoli empat gergasi Asia pada kejohanan ini. 

Perlu diingat, Malaysian Tigress bermain tanpa kehadiran tonggak berpengalaman di bahagian tengah, Fazilla Sylvester Silin selain ketiadaan tiga pemain senior, Siti Rahmah Othman, Norbaini Hashim dan Norazlin Sumantri untuk edisi di Korea Selatan ini.

Percaturan berani ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah membawa tiga pemain berusia bawah 18 tahun dalam skuadnya membuahkan hasil pada kejohanan ini.

ACT 2018 merupakan kejohanan kedua buat dua penyerang, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, 18, dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad, 17, manakala ini merupakan debut pertama buat Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun, 17.

Malah, menghuni kelompok empat terbaik ini adalah satu pencapaian memberangsangkan kerana China, Korea Selatan, India dan Jepun dikatakan menurunkan skuad terbaik di ACT 2018 sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia 2018 di London pada Julai.

Dharma mempunyai tempoh masa tiga bulan untuk memperbaiki kelemahan sebelum memulakan misi Sukan Asia 2018 kerana ACT 2018 adalah platform terakhir mengkaji kelemahan dan kekuatan pihak lawan.

Saya percaya skuad wanita cuma selangkah sahaja lagi untuk meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 2018 jika setiap ruang diperbaiki dan prestasi cemerlang ini diteruskan di sana nantu walaupun ia bukan satu tugas mudah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen