Jovic tergantung, Zidane di penghujung?

Oleh Nafis Abdullah 15 August 2019 31566
Jovic tergantung, Zidane di penghujung?
Keinginan untuk menyertai kelab besar seperti Real Madrid semestinya menjadi impian setiap bintang bola sepak dan tidak terkecuali sudah tentu penyerang yang baru menyertai gergasi Sepanyol itu, Luka Jovic.

Penggempur berusia 21 tahun itu melengkapkan perpindahan daripada Eintracht Frankfurt ke Santiago Bernabeu pada awal Jun lalu menerusi yuran berjumlah EUR60 juta.



Penghijrahannnya ke ibu negara Sepanyol itu melengkapkan perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh Los Blancos tatkala skuad kendalian Zinedine Zidane itu menghabiskan sekitar EUR303 juta bagi mendapatkan khidmat Eden Hazard daripada Chelsea, Eder Militao (FC Porto), Ferland Mendy (Olympique Lyon) serta Rodrygo Goes (Santos) menjelang musim 2019-20.

Bagaimanapun, tempoh penuh kegembiraan atau bulan madu buat Jovic di Bernabeu hanya bertahan 71 hari.

Memegang rekod penjaring lima gol termuda dalam sebuah perlawanan di pentas Bundesliga ketika di Jerman musim lalu, status itu ternyata tidak mempengaruhi Zidane untuk mudah meletakkannya dalam kesebelasan utama ketika saingan pramusim.



Malah, ketika diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan Madrid sewaktu berdepan Atletico Madrid di Amerika Syarikat -- yang menyaksikan pasukannya tewas 7-3 -- dia hanya beraksi kurang daripada 30 minit serta gagal memberikan sebarang impak di atas padang.

Tatkala umum dapat melihat Zidane lebih cenderung menggunakan kelibat Karim Benzema sebagai pertaruhan utama di bahagian serangan, kini nama Jovic mula dikaitkan dengan pinjaman ke kelab luar.



Sebanyak enam pasukan, iaitu Borussia Dortmund, Bayern Munich, AS Roma, Inter Milan, Paris Saint-Germain (PSG) serta bekas majikannya, Eintracht, dilaporkan bersedia untuk menerima kehadiran bekas penggempur skuad muda Red Star Belgrade itu sekiranya Madrid benar-benar mahu melepaskannya secara pinjaman.

PSG mungkin mampu menjadi destinasi buat Jovic memandangkan gergasi Perancis itu berkemungkinan besar kehilangan khidmat Neymar yang berhasrat pulang ke Barca tetapi Bayern, Dortmund dan Eintracht dilihat lebih berpeluang berdasarkan pengalaman yang dimiliki pemain kelahiran Bijeljina itu di bumi Jerman sebelum ini.



Ketika ini, Los Blancos sudah pun kehilangan khidmat Marco Asensio serta Mendy akibat kecederaan sambil permasalahan di antara Gareth Bale dan Zidane tampak masih belum menemui jalan penyelesaian dan dalam masa sama, pengendali itu masih meratapi kegagalan membawa Paul Pogba keluar daripada Manchester United.

Persoalannya, adakah jumlah EUR303 juta yang sudah dikeluarkan masih belum cukup buat Zidane? Atau mungkin masa depan legenda Perancis dengan gelaran Zizou itu sudah berakhir sebelum sepak mula LaLiga musim ini?

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen