John Terry, si kuda tua julang Villa 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 May 2018 11712
John Terry, si kuda tua julang Villa 
John Terry wajar diangkat sebagai wira Aston Villa pada musim ini apabila kelab itu menghampiri slot Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim depan. 

Villa menyingkirkan Middlesbrough secara agregat 1-0 dalam aksi separuh akhir play-off awal pagi semalam, seterusnya bakal berentap dengan Fulham di Stadium Wembley hujung minggu depan untuk menentukan slot terakhir saingan perdana musim depan.

Wolves dan Cardiff City sah layak secara automatik manakala satu lagi perlawanan separuh akhir, menyaksikan Fulham mengecewakan Derby County dengan agregat 2-1. 

Dua musim lalu, Villa dihumban ke divisyen kedua Inggeris, Liga Kejuaraan, dan ia tidak pernah berlaku sepanjang 142 tahun penubuhan kelab itu. 

Selepas terumbang-ambing dengan mengakhiri kempen lalu di tangga ke-13, Villa memperkenalkan beberapa tonggak berpengalaman bagi menawarkan lebih kestabilan. 

Langkah pengendali, Steve Bruce, merekrut Terry serta Robert Snodgrass, memberi pulangan berbaloi apabila mereka mengakhiri Liga Kejuaraan di tangga keempat, sekali gus menjamin aksi play-off ke EPL. 

Bagi Villa, pengalaman yang dimiliki bekas ketua pasukan Chelsea dan England itu amat bermakna, termasuk menjadi teladan kepada pemain yang sedang berkembang seperti Jack Grealish.

Pemain berusia 22 tahun itu mendapat panduan berguna daripada Terry. Jadi, tidak hairanlah mengapa Bruce amat menyanjungi kehadiran Terry. Dedah Bruce, Terry hadir pada saat kelab itu dalam keadaan porak-poranda sebaik dilantik pada Oktober 2016. 

"Saya amat memerlukan khidmat John Terry, bukan sahaja di atas padang," kata Bruce seperti yang dipetik daripada akhbar United Kingdom. 

"Kehadirannya juga membantu di dalam bilik persalinan yang bertoksik sejak bertahun-tahun.

“Adalah penting Jack Grealish mendapatkan pandangan daripada pemain profesional seperti Terry dan saya fikir, ‘inilah cara yang tepat’.

"Ketika Jack berusia 21 tahun, dia sudah mendapat tunjuk ajar daripada tujuh pengurus berbeza yang menyatakan kepadanya perkara berbeza. Dia memerlukan keseimbangan dan fokus."

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen