JDT 'raya' Liga Super? 

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 13 June 2018 21179
JDT 'raya' Liga Super? 
Ketika warga bola sepak tanah air sedang sibuk melakukan persiapan akhir untuk berhari raya, barisan pemain Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) masih berentap di atas padang malam tadi.

Mereka beradu kekuatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi tunggal Liga Super dengan pertemuan itu ibarat 'clash of the title' atau aksi penentu mahkota kejuaraan.

Maknanya sebelum perlawanan jika skuad Harimau Selatan menang, gelaran liga dalam genggaman mereka tetapi jika sebaliknya Pahang pula masih berpeluang untuk mengintai kejuaraan.

Dan selepas tamat aksi 90 minit permainan, jelas dan bukan lagi rahsia, trofi musim ini sekali lagi akan kekal di bumi Johor untuk kali kelima berturut-turut sejak 2014.

Tidak perlu rasanya, kita membuat perkiraan berapa mata yang diperlukan kelab dari selatan tanahair itu dalam baki perlawanan kerana sudah terang lagi bersuluh kehebatan mereka sukar ditandingi. 

"JDT... juara kali kelima berturut-turut", itu keyakinan yang dilontarkan pengulas perlawanan sebaik JDT memadam kebangkitan Pahang dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Fernando Marquez dan Gonzalo Cabrera.

Ia merupakan kemenangan kedua JDT ke atas skuad Tok Gajah dalam tempoh tidak sampai seminggu selepas menang 1-0 di Stadium Larkin, Jumaat lalu sekaligus menjadi penawar duka terbaik selepas 
diaib 0-3 kepada lawan sama dalam Piala FA, April lalu.

Lebih menarik, kemenangan pada Selasa juga menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan liga.

Kini, ia membawa skuad bimbingan Raul Longhi itu semakin hampir kepada kejuaraan kelima berturut-turut mereka, dengan membuka kelebihan 11 mata di persada liga.

Dalam baki tujuh perlawanan, penulis berasakan hanya Perak dan mungkin Kedah akan menghadirkan cabaran hebat kepada JDT tatkala lima lawan lain dijangka bukan masalah buat juara Piala AFC 2015 ini untuk meraih tiga mata.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen