Janji Syakilla kepada MSN & KBS!

Oleh Nur Amira Ibrahim 25 March 2019 444
Janji Syakilla kepada MSN & KBS!
Sebelum ini, nama atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan dihimpit kontroversi demi kontroversi berhubung masalah berat badannya. 

Terbaharu, dia dipaksa untuk kembali ke tanah air oleh Persekutuan Karate-Do Malaysia, MAKAF pada awal bulan ini kerana gagal mengekalkan berat badan 55 kilogram sekaligus terpaksa tarik diri daripada dua kejohanan iaitu Liga K-1 di Dubai dan Siri A Karate 1 di Austria. 

Pastinya Syakilla dipersalahkan kerana gagal menjaga disiplin dengan baik sehingga berat badannya bertambah mencecah 61 kilogram tatkala dia perlu kekal dalam kategori 55kg untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Bekas atlet ranking nombor satu dunia ini kemudiannya menyuarakan hasrat terus kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuknya berlatih di Latvia di bawah bimbingan jurulatih lama, Andris Vasiljev. 

Hasratnya itu dipersetujui KBS walaupun hakikatnya Syakilla dilihat membelakangkan perancangan MAKAF kepadanya. 

Apa yang pasti, atlet berusia 27 tahun ini membuktikan kemampuannya di pentas Kejohanan Terbuka Kebangsaan pada Ahad lalu apabila muncul juara kategori 61 kilogram selepas kali terakhir beraksi bagi acara itu pada tahun 2014. 

Mengharapkan dia dapat dihantar secepat mungkin ke Latvia, Syakilla tidak akan mensia-siakan peluang yang telah diberi kepadanya bagi memastikan dirinya layak ke Olimpik Tokyo 2020 di samping berjanji aspek disiplin diutamakan. 

Dia percaya, Vasiljev adalah individu terbaik yang mampu membentuk kembali prestasinya tanpa menjejaskan lagi program latihan selepas ini. 

Kita harapkan perkembangan yang lebih positif daripada Syakilla selepas ini tanpa berita yang kurang enak untuk didengari sekali lagi. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen