Jangan takut kuasa Eropah!

Oleh Mirnawan Nawawi 25 July 2019 3804
Jangan takut kuasa Eropah!
Perlawanan menentang Jerman awal pagi nanti merupakan aksi pembuka tirai pasukan hoki kebangsaan dalam siri Jelajah Eropah hingga 12 Ogos ini.

Jerman adalah salah satu kuasa Eropah yang akan dihadapi Malaysian Tigers dalam sembilan perlawanan di sana selain Sepanyol, Ireland, England, Belanda dan Belgium.

Bagi saya, ini adalah satu peluang keemasan yang jarang-jarang berlaku kerana negara-negara dalam kelompok 10 terbaik dunia berminat untuk bermain aksi persahabatan antarabangsa dengan pasukan kebangsaan di tangga ke-12 dunia.

Jika kita lihat kepada semua pasukan ini, saya pasti barisan kejurulatihan diketuai Roelant Oltmans berpeluang memantapkan prestasi pemain semasa bertahan dan juga pertahanan pukulan sudut penalti.

Ini kerana lawan kita bukan calang-calang pasukan seperti Jerman, bekas juara Sukan Olimpik 2012; Sepanyol sering bermain di pentas Olimpik dan Piala Dunia; Ireland pula mempunyai bekas penjaga gol terbaik dunia; Belanda dengan dua gelaran Sukan Olimpik dan tiga trofi Piala Dunia dan Belgium baru sahaja menjulang Piala Dunia tahun lalu.

Saya menjangkakan pertahanan skuad negara secara bertahan dan sewaktu pukulan sudut penalti akan diuji sepenuhnya sepanjang sembilan perlawanan di sana.

Inilah yang kita mahukan kerana ia adalah aspek terpenting yang perlu skuad negara perbaiki dalam persiapan menuju ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 pada Oktober dan November nanti.

Selain itu, Jelajah Eropah ini amat bermanfaat buat pemain-pemain muda seperti Akhimullah Anuar Esook, Azrai Aizad Abu Kamal dan dua pemain baharu, Noor Firdaus Rosdi serta penjaga gol, Adrian Andy Albert, dalam proses kematangan permainan mereka.

Tidak terkecuali buat pemain senior seperti Shahril Saabah yang telah lama berehat akibat kecederaan.

Penyerang yang juga pakar flick Malaysian Tigers ini perlu mengambil peluang sepenuhnya merebut semula tempatnya dalam senarai akhir ke kelayakan nanti, lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Firhan Ashaari, yang terpaksa berehat panjang kerana kecederaan.

Apa-apa pun, bermainlah mengikut perancangan jurulatih dan berani menampilkan permainan terbaik anda, jangan takut kepada kuasa-kuasa Eropah.

26 Julai - Lawan Jerman di Krefeld
30 Julai - Lawan Sepanyol di Terrassa
1 Ogos - Lawan Sepanyol (Kejohanan Four Nations) di Terrassa
2 Ogos - Lawan Ireland (Kejohanan Four Nations) di Terrassa
4 Ogos - Lawan England (Kejohanan Four Nations) di Terrassa
6 Ogos - Lawan Belanda di Breda
8 Ogos - Lawan Belanda di Breda
9 Ogos - Lawan Belgium di Antwerp
12 Ogos- Lawan Belgium di Antwerp

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen