Jangan panggil saya Roy, Kak

Oleh Suzana Basri 13 April 2018 15718
Jangan panggil saya Roy, Kak
“Akak, jangan panggil saya Roy tau.”

Itu pesan pemenang pingat emas pertama negara di Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, sebelum saya menemubualnya di anjung Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC).
 

Dia enggan namanya dikaitkan dengan nama dalam filem popular 1980an, ‘Gila Gila Remaja’ yang cukup sinonim dengan tagline "Roy, Roy, hati kau memang keras Roy".

Hakikatnya atlet angkat berat berusia 24 tahun dari Johor dan membesar di Pahang ini memang memiliki semangat kental – dia berkongsi cerita berkayuh bersama bapanya sejauh 10 kilometer setiap hari untuk ke tempat latihan.



Saya kira semua pengorbanan dia kini berbaloi dan semakin menunjukkan hasil positif menerusi kejayaan di pentas sulung Komanwelnya.

Ketika itu juga, saya pula berasakan hati ini tidak lagi keras seperti dahulu - bergenang juga air mata sambil bertanya itu dan ini - pada masa sama, terbit rasa bersyukur di dalam diri betapa hidup ini perlu lebih dihargai.

Sukan seringkali dinilai menerusi mata kasar dengan pilihan pada A atau B. Namun kisah di sebaliknya lebih menarik seperti mana saya dan pasukan Astro Arena yang sudah 13 hari di bumi Gold Coast.

Meninggalkan tanahair dan keluarga tersayang dengan jarak 8 jam perjalanan udara atau lebih tepat 6,146 km jauhnya - antara pengorbanan terbesar kami dalam memberikan liputan terbaik Sukan Komenwel edisi ke-21 ini.

Tugasan kami bermula seawal jam 6 pagi waktu Malaysia - bermakna kami perlu bangun dan bersiap 2 jam lebih awal atau mungkin 3 jam buat saya yang amatur dalam melakukan solekan sendiri atau rakan wartawan yang perlu ke lokasi pertandingan yang jauh dari kota Gold Coast.

Alah bisa tegal biasa - pelbagai rasa yang hadir memberikan perjalanan menyeronokkan setakat ini.



Diam tak diam, saya juga akan menyambut ulangtahun ketujuh bersama Astro Arena tidak lama lagi. Saya tanam harapan kontinjen Malaysia menamatkan perjuangan dengan gemilang untuk saya jadikan berita gembira pada ulangtahun kelahiran ayah saya, Mohd Basri Zaman – peminat sukan negara nombor satu di hati saya - pada 15 April ini.

*Jangan lupa ikuti liputan eksklusif kontinjen negara di Sukan Komanwel 2018 menerusi saluran Astro Arena 801/802HD dan saluran khas berita Nadi Arena 800/803HD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen