Jangan menangis Kedah

Oleh Dayne Azmin 6 November 2017 129
Jangan menangis Kedah
Hancur sudah harapan Kedah untuk pertahankan kejuaraan Piala Malaysia, berkecai bersama kira-kira 35,000 penyokongnya yang dianggarkan di Stadium Shah Alam.

Dua cubaan yang mengenai tiang dan palang melalui Baddrol Bakhtiar, sudah cukup menceritakan nasib nyata tidak memihak Kedah untuk muncul juara kali keenam dalam sejarah Piala Malaysia.

Segala-galanya sudah tidak memihak kepada Kedah sejak awal apabila jaringan pada minit ketiga oleh Aidil Zafuan nyata merentap fokus skuad Helang Merah.

Apa yang diperhatikan selepas itu, secara tiba-tiba Kedah hilang tumpuan di babak pertama dan walaupun cuba bangkit di separuh masa kedua, skuad Johor Darul Ta'azim (JDT) lebih tajam menyempurnakan peluang terhidang di depan pintu gol.

Penulis akui aksi Kedah dalam perlawanan Sabtu lalu bukanlah yang terbaik pernah saksikan dan rasanya majoriti penyokong mereka boleh bersetuju dalam hal ini.

Mungkinkah isu Nidzam Adzha Yusoff yang tidak mahu meneruskan tugas selaku ketua jurulatih pada musim depan ada kaitan mengapa skuad Kedah kelihatan seperti tidak bersatu di atas padang?

Terlalu jelas ada beberapa pemain Kedah seperti bersikap individu di atas padang dan kurang semangat berpasukan yang mencerminkan ada sesuatu tidak kena dalam pasukan Kedah pada masa ini.

Terlalu sayang 90 peratus skuad anak jati Kedah yang dibina sejak 2015 ini mampu hancur jika tiada jalan penyelesaian jitu daripada pihak pengurusan.

Mungkin Nidzam lihat tindakannya mengundur diri selaku nakhoda pasukan adalah jalan terbaik bagi memastikan majoriti pemain Kedah terus berbakti di negeri kelahiran.

Apa yang pasti, Persatuan Bola Sepak Kedah(KFA) sudah sampai masanya mencari ketua jurulatih yang punya karakter tersendiri seperti bekas pengendali, Tan Cheng Hoe.

Di sebalik rasa kecewa itu, penyokong Kedah boleh berbangga berdasarkan pencapaian skuad helang merah sepanjang musim ini.

Satu kejuaraan Piala FA, naib juara Piala Malaysia serta duduki tempat keempat Liga Super, buat penyokong Kedah... jangan menangis.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen