Jangan main-main dengan Misbun

Oleh 31 December 2017 144
 Jangan main-main dengan Misbun
Ramai bertanyakan kepada saya apakah keistimewaan menjadi seorang jurukamera bagi salah satu saluran sukan tempatan? Jawapan saya banyak, selain daripada mendapat peluang menyaksikan acara sukan, saya dapat melihat atau mendengar cerita belakang tabir sesuatu kejadian.

Antara yang paling saya minati adalah membuat liputan latihan skuad badminton kebangsaan di Akdemi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. Boleh dikatakan dalam seminggu, sekurang-kurangnya dua kali bilik berita akan menghantar wartawan ke sana untuk mendapatkan perkembangan baru dari kem badminton negara, dan kalau kena masa dengan jadual kerja, saya antara jurukamera yang ditugaskan untuk bersama wartawan bertugas membuat liputan.

Tahukah anda, semenjak Datuk Misbun Sidek dilantik kembali menjadi ketua jurulatih perseorangan lelaki, latihan barisan pemain perseorangan bermula lebih awal sekitar jam 5 pagi. Dan mereka akan berterusan berlatih sehingga pukul 9.30 pagi, dan adakala terlajak hingga jam 10 lebih.

Yang mengujakan saya, perubahan fizikal para pemain muda. Khasnya pemain perseorangan lelaki. Badan dan otot mereka boleh nampak perubahannya. Ada juga saya bertegur sapa dengan pemain seperti Lee Zii Jia dan beberapa bakal jaguh badminton lain. Kata mereka, latihan sekarang betul-betul 'tough'. Kalau tak betul atau main-main boleh muntah! Ini baru kem badminton sebenar. 

Dan dalam sesi latihan tersebut, mereka juga ada membuat perlawanan simulasi, misalnya Datuk Lee Chong Wei lawan Iskandar Zulkarnain. Meskipun sesi latihan, mereka beraksi sepenuh hati. Terdetik dalam diri saya, peminat di luar sanggup membayar tiket untuk melihat barisan pemain negara beraksi, terutamanya Chong Wei, namun saya dengan mudah dapat melihat aksi sebegini setiap minggu. Nah inilah keistimewaan yang saya bicarakan di awal permulaan tadi.

Ini baru secebis keistimewaan yang saya dapat dari menjadi jurukamera, insan di belakang tabir yang merakamkan kejadian penting yang berlaku dalam arena sukan tempatan. Untuk cerita lebih lanjut tengoklah berita nadi arena, saluaran 801 dan 802 HD, bersungguh saya dan wartawan bergabung buat berita. Jangan lupa tengok ye ! 

Oh, sebelum terlupa, saja nak bagitahu saya dulu pernah masuk klinik badminton anjuran Nusa Mahsuri waktu umur 12 tahun. Sebelum subuh dah kena jerit siap-siap pergi 'jogging' oi! 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen