Jangan jadi perompak

Oleh Hasnizam Uzir 19 April 2018 9196
Jangan jadi perompak
Lebih 20 tahun Liga Bola Sepak kita telah berada dalam era professional tetapi masih ada lagi permasalahan membayar gaji oleh majikan dalam Liga Malaysia.

Setiap tahun pasti ada sahaja pasukan-pasukan tidak dapat melunaskan gaji untuk pemain sedangkan pemain telah memberikan khidmat mereka. Ada juga majikan yang memberi alasan kenapa mereka tidak dapat membayar gaji disebabkan prestasi pasukan tidak menentu dan penonton tidak hadir ke stadium. Alasan-alasan ini sudah sebati dalam jiwa pengurusan pentadbiran pasukan tidak kiralah siapa yang mentadbirnya walaupun bersilih ganti orang itu dalam persatuan atau kelab.

Kenapa semua ini berlaku sedangkan kita tahu kebanyakan mereka yang memimpin persatuan atau kelab ini terdiri dari golongan bijak pandai serta mempunyai pengaruh dan kelulusan yang tinggi. Ini yang menjadi persoalan ramai pihak sedang kita tahu bola sepak ini satu sukan yang bukan sahaja dapat menyatukan masyarakat tetapi sebaliknya ia boleh mendatangkan pendapatan. Apa yang boleh penulis nyatakan disini kebanyakan pemimpin yang mentadbir persatuan atau kelab ini bukan benar-benar ikhlas, jujur dalam membangunkan sukan bola sepak itu tetapi lebih kepada kepentingan peribadi dan populariti. Sikap begini telah lama tular dalam persatuan dan kelab bola sepak di Malaysia. 

Apabila tidak ada kejujuran dan keikhlasan sudah pasti tidak akan dapat memberikan seratus peratus fokus mereka pada urus tadbir sesebuah organisasi itu sendiri, apatah lagi untuk memikirkan hala tuju dan merancang kewangan sesebuah persatuan itu dalam jangka masa panjang. Pemimpin begini yang banyak merosakan sesebuah pasukan itu. Tidak faham bagaimana untuk mengaggih-aggihkan tugas kepada pasukan pengurusan bagi tujuan penyelarasan dan tindakan kerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan mengikut jadual dan perancangan.

Bukan kepada pemimpin sesebuah persatuan atau kelab sahaja yang penulis melihat sebaliknya kepada penyokong juga perlu memainkan peranan dalam memajukan sesebuah pasukan itu, sekiranya benar sayangkan pasukan janganlah bila berada dipuncak sahaja ingin bersama pasukan tetapi apabila sebaliknya berlaku semuanya lari meninggalkan pasukan. Ada yang lagi teruk penulis melihat apabila segelintir penyokong mengambil kesempatan atas kelemahan penguatkuasaan pengurusan pasukan dengan menjual cenderhati jenama pasukan tidak kira t shir atau sebagainya pada hal mereka sendiri tahu yang pasukannya ada menjual cenderahati untuk menjana pendapatan pasukan.

Kesedaran tentang tanggungjawab dan "passion" dalam sukan bola sepak itu perlu ikhlas dan jujur sekiranya kita ingin melihat pasukan kesayangan kita ini maju. Biarlah kejujuran itu menjadi tunjang kepada kejayaan bukan menjadi perompak kepada pasukan terutama kepada pemain.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen