Jangan cakap akak tak payung

Oleh Fina Nasrom 3 December 2019 1571
Jangan cakap akak tak payung
Pelbagai reaksi diberikan netizen sebaik klip yang menampilkan penulis membuat lintas langsung di sekitar Manila Bay melewati insiden tidak dijangka.

Nilai estetika yang perlu ditampilkan oleh seorang wartawan tidak hanya bergantung kepada laporan semata-mata, tetapi setiap gambaran dari bahan cerita perlu dibuktikan menerusi gambar mahupun video.

Niat penulis singgah ke Manila Bay hanyalah untuk menggambarkan situasi sebenar di Metro Manila selepas isu Taufan Kammuri atau lebih dikenali sebagai Pisoy sudah digembar-gemburkan sejak beberapa hari lalu.

Segalanya tampak tenang, masih ada pengunjung yang melakukan senaman ringan di sekitar Manila Bay serta lain-lain aktiviti yang membentuk gambaran tiada apa yang akan menggugat keselamatan mereka.

Hampir setengah jam meninjau keadaan semasa selain mengambil kira aspek keselamatan, siaran lintas langsung diputuskan untuk melaporkan situasi semasa sekitar Manila Bay.

Penulis mengambil keputusan untuk menggunakan payung bagi mengelak kerosakan barang penting seperti mikrofon serta telefon yang menyimpan 1001 info melibatkan temasya dwitahunan ini.

Umpama memberi salam perkenalan, angin kecil Pisoy mula bertiup kencang 5 minit sebelum lintas langsung bermula dan hujan rintik-rintik mula membasahi bumi.

Apa yang dilihat menerusi klip ‘morning show’ hari ini, kekuatan Pisoy sememangnya amat merbahaya, tidak hairan beberapa acara terpaksa ditunda selain jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di tutup serta merta demi menjamin keselamatan atlit dan pengunjung yang berada di Filipina.

Pengalaman dicium angin Pisoy pengalaman yang amat bermakna untuk penulis, ada yang mengklasifikasikan insiden itu sebagai lucu, membimbangkan dan ramai juga yang beri sokongan moral atas dasar tugasan selaku wartawan yang membuat liputan harian sepanjang saingan Sukan SEA berlangsung.

Bagi penulis, pengalaman itu tidak mampu di beli dengan wang ringgit, dengan sedikit keberanian yang ada itulah realiti di Metro Manila untuk dijadikan tatapan umum khususnya penonton Astro Arena yang disayangi.

Seeing is believing !

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen