Jaga-jaga sama Jeremy

Oleh Adam Zamri 19 March 2018 23244
Jaga-jaga sama Jeremy
Kejohanan Badminton Seluruh England akhirnya menutup tirai semalam, yang menyaksikan tiada rakyat Malaysia di pentas final, kecuali insan bernama Jeremy Gan.

Jeremy meletakkan jawatan sebagai jurulatih beregu lelaki negara dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) September lalu, dan kemudiannya berkelana ke Jepun memulakan cabaran sebagai jurulatih beregu campuran pada Januari. Tidak sampai tiga bulan membimbing pasangan muda, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, mereka sudah pun melakar kejayaan, menjadi pasangan pertama dari Jepun memenangi Seluruh England.

Siapa sangka Watanabe dan Higashino yang berada di ranking ke-48 dunia mampu menewaskan pilihan kelima kejohanan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong, 15-21, 22-20, 21-16.

Pelan asal ditugaskan kepada Jeremy adalah untuk mempersiapkan Watanabe dan Higashino selain beberapa pemain lain dalam skuad beregu campuran untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun dengan kejayaan terbaru di Birmingham ini, sudah pasti Park Joo Bong selaku ketua jurulatih Badminton Jepun melihat negara Matahari Terbit itu di landasan terbaik mempersiapkan pasukan badminton yang mantap menjelang temasya Olimpik 2020 di laman sendiri.

Mengulas mengenai sentuhan dimiliki Jeremy untuk membimbing pemain menjadi bertaraf dunia usah dipertikai lagi, terdahulu ketika dia bersama BAM, beberapa pemain pernah digilap antaranya gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016 dan tidak dilupakan menjadi tulang belakang membentuk gandingan Chan Peng Soon dan Goh Liu Yin bersama seorang lagi jurulatih, Chin Ee Hui.

Memang susah untuk melihat kejayaan dilakar pemain badminton Malaysia di pentas antarabangsa pada masa kini, namun sekurang-kurangnya kekecewaan itu terubat sedikit biarpun harapan itu terpaksa disandarkan kepada jurulatih kelahiran Malaysia yang berbakti dengan negara luar.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen